GUA MUSANG – Memandu kenderaan melebihi had kelajuan merupakan kesalahan tertinggi yang direkodkan pengguna jalan raya sepanjang lima hari Op Selamat 21/2024 sempena Tahun Baharu Cina di Kelantan.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, sebanyak 8,333 saman dikeluarkan melibatkan pelbagai kesalahan bermula 8 Februari sehingga 13 Februari.
Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak 4,956 saman memandu melebihi had kelajuan telah dikeluarkan sekali gus mencatatkan peningkatan 59 peratus berbanding tahun lepas.
“Antara kes lain yang menunjukkan jumlah saman yang tinggi adalah kesalahan nombor plat kenderaan dengan 477 saman, tidak mempunyai lesen memandu (405), tiada cukai jalan (400) dan tidak mematuhi tanda lalu lintas (386).
“Meskipun jumlah saman menunjukkan peningkatan, kes kemalangan mencatatkan penurunan iaitu daripada 236 kepada 209 kes. – KOSMO! ONLINE