fbpx

Hayabusa-2 menuju Bumi selepas penerokaan 300 juta kilometer

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR yang dirakam JAXA dari kapal angkasa Hayabusa-2 menunjukkan asteroid Ryugu. – AFP

TOKYO – Kapal angkasa Jepun, Hayabusa-2 menuju ke Bumi selepas enam tahun meneroka ang­kasa lepas tetapi hanya untuk menggugurkan sampel asteroid yang jarang ditemui sebelum memulakan misi baharu.

Kapal angkasa sebesar sebuah peti sejuk yang dilancarkan pada Disember 2014 itu telah mengujakan saintis dengan mendarat dan mengumpul sampel di atas sebuah asteroid pada jarak sekitar 300 juta kilometer dari Bumi.

Bagaimanapun, misi Hayabusa-2 belum berakhir. Ini kerana saintis-saintis daripada Agensi Angkasa Lepas Jepun (JAXA) kini merancang untuk melanjutkan misi kapal angkasa itu selama lebih satu dekad lagi dan me­nyasarkan dua asteroid baharu.

Sebelum misi baharunya boleh bermula, Hayabusa-2 perlu menggugurkan sampel yang diambil dari asteroid Ryugu atau bermaksud ‘istana naga’ dalam bahasa Jepun.

Saintis-saintis berharap kapsul yang digugurkan kapal angkasa itu akan mengandungi 0.1 gram sampel Ryugu yang akan memberikan petunjuk mengenai sistem solar ketika kelahirannya sekitar 4.6 bilion tahun dahulu.

“Sampel itu boleh memberi pengetahuan tentang bagaimana jirim bertaburan di sekitar sistem solar, mengapa ia wujud di atas asteroid itu dan bagaimana kaitannya dengan Bumi,” kata pengurus projek tersebut, Yuichi Tsuda kepada pemberita menjelang pengguguran kapsul me­ngandungi sampel itu esok.

Sampel yang diambil itu berada di dalam sebuah kapsul yang akan berpisah daripada Hayabusa-2 pada jarak sekitar 220,000 kilometer di atas Bumi. Kapsul itu dijangka jatuh dan mendarat di sebuah gurun di selatan Australia.

Selepas menggugurkan sampel itu, Hayabusa-2 akan mengadakan beberapa penerbangan mengelilingi orbit di sekitar Matahari yang keseluruhannya dijangka mengambil masa enam tahun.

Ia kemudian akan menghampiri asteroid pertamanya pada Julai 2026.

Hayabusa-2 kemudian menu­ju ke sasaran utama iaitu sebuah asteroid berbentuk bola bernama 1998 KY26 dan mempunyai diameter hanya 30 meter. Apabila kapal angkasa itu tiba di 1998 KY26 pada Julai 2031, ia akan berada pada jarak 300 juta kilometer dari Bumi. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI