fbpx

Tun M kurang sihat, bicara saman fitnah isu ‘Kutty’ ditangguh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dr. Mahathir dan Ahmad Zahid.

KUALA LUMPUR – Perbicaraan kes saman Tun Dr. Mahathir Mohamad terhadap Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berhubung kenyataan berbaur fitnah isu ‘kutty’ yang sepatutnya bermula hari ini, ditangguhkan ke 19 Julai kerana bekas Perdana Menteri itu kurang sihat.

Perkara itu dimaklumkan peguam Mior Nor Haidir Suhaimi yang mewakili Dr. Mahathir, 99, selaku plaintif ketika ditemui selepas prosiding kes di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Gan Techiong di Mahkamah Tinggi, di sini hari ini.

Menurut peguam itu, sebelum ini Institut Jantung Negara (IJN) telah menghantar surat kepada mahkamah bahawa anak guamnya kurang sihat untuk hadir di mahkamah, hari ini.

“Anak guam kami diberi cuti sakit oleh IJN dari dari 26 Januari hingga 18 Februari ini. Justeru kami mohon kepada mahkamah supaya perbicaraan hari ini ditangguhkan. Hakim berharap tarikh perbicaraan awal kerana usia anak guam kami yang sudah lanjut. Perbicaraan pada 13 hingga 16 Februari ini ditangguhkan,” kata peguam itu.

Tambahnya, mahkamah kemudian menetapkan perbicaraan bermula 19 Julai, 26 dan 27 Ogos serta 29 dan 30 Oktober.

Sementara itu ketika ditanya, saksi plaintif yang akan dikemukakan pada perbicaraan kelak, Mior Nor Hidir berkata pihak plaintif mengemukakan dua saksi iaitu Dr. Mahathir dan anaknya Datuk Seri Mukhriz untuk memberi keterangan pada perbicaraan kes itu.

Dalam pada itu, peguam Mohamed Shahrul Fazli Kamarulzaman mewakili Ahmad Zahid, 71, mengesahkan perkara itu dan memaklumkan anak guamnya dan seorang lagi saksi sapina akan memberi keterangan pada perbicaraan tersebut.

Berdasarkan pernyataan tuntutan yang difailkan pada 20 Julai 2022, Dr. Mahathir mendakwa, Ahmad Zahid telah mengeluarkan kenyataan memfitnah terhadapnya semasa mesyuarat UMNO Bahagian di Kelana Jaya pada 30 Julai 2017 dan kenyataan itu diterbitkan semula di YouTube Astro Awani dan beberapa portal berita dalam talian, yang boleh diakses oleh pengguna Internet tanpa sebarang sekatan.

Dakwanya, kenyataan fitnah tersebut antaranya membawa maksud bahawa beliau bukan dilahirkan sebagai seorang Melayu atau Islam dengan nama asal yang didakwa sebagai ‘Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty’ dan menggunakan orang Melayu semasa menjadi Perdana Menteri untuk mendapatkan keuntungan politik dan peribadinya selain memperkecilkan rakyat Malaysia berketurunan India Muslim. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI