PETALING JAYA – Memasuki tahun ketiga perkahwinan, penyanyi Elizabeth Tan berharap dikurniakan cahaya mata sebagai pelengkap kehidupan.
Kata pemilik nama lengkap Elizabeth Tan Su Mei itu, besar hasratnya dapat menimang anak daripada rahim sendiri, sekali gus berpeluang meraikan Tahun Baharu Cina bersama si kecil tahun depan.
“Tema ‘pink’ (merah jambu) untuk raya berdua tahun ini.
“Harapnya Tahun Baharu Cina tahun depan dah bertiga,” katanya dalam hantaran foto bersama suaminya Instagram.
Menerusi perkongsian tersebut, penyanyi lagu Police Entry itu menggayakan baju merah jambu yang juga rona senada dengan suaminya, Dr. Siew Jim.
Minggu lalu, Elizabeth yang selesa disapa Lizzy turut menzahirkan harapan sama ketika menghadiri majlis pengumuman jantina bayi pelakon, Puteri Aishah.
“Cuba untuk mendapatkan aura bayi untuk diri sendiri,” selorohnya pada kapsyen gambar bersama temannya itu.
Sementara itu, menerusi ruangan komen ramai rakan seperjuangan serta netizen mendoakan Lizzy bersama suaminya dikurniakan cahaya mata.
“Doakan awak juga, Selamat Tahun Baharu Cina,” kata pelakon Daiyan Trisha.
“Tak sabar nak jumpa si comel mini Lizzy,” tulis seorang pemilik akaun laman sosial lain.
Pasangan terbabit mendirikan rumah tangga pada 21 Mac 2021 dalam majlis tertutup disebabkan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 ketika itu.
Sebelum ini Lizzy pernah mendedahkan berdepan masalah alopesia iaitu keguguran rambut kritikal akibat penyakit autoimun yang dihidapi sejak kecil.
Dia meluahkan kebimbangan masalah tersebut boleh memberi kesan terhadap usahanya untuk hamil. – KOSMO! ONLINE