MANCHESTER – Pengurus Manchester City, Pep Guardiola mengambil pendekatan merendah diri meskipun diramal tiada masalah menyambar slot suku akhir Liga Juara-Juara musim ini.
Ia berdasarkan hakikat City diundi menentang lawan mudah, Copenhagen menjelang aksi pertama pusingan 16 terbaik di Stadium Parken awal pagi esok sebelum timbal balik kedua di Stadium Etihad pada 7 Mac ini.
The Citizens masih belum tewas daripada 13 perlawanan dalam semua kejohanan termasuk menjuarai Piala Kelab Dunia dengan kali terakhir tewas 0-1 kepada Aston Villa pada 7 Disember tahun lalu.
City juga kembali berada pada tahap terbaik selain berpeluang memintas Liverpool selaku pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL) kerana memiliki kelebihan satu perlawanan dalam tangan.
Begitupun, Guardiola, 53, memberikan respons berbeza dan menegaskan, pasukannya dijangka tiada peluang untuk mengulangi kejayaan trebel musim lalu dengan menjuarai EPL, Liga Juara-Juara dan Piala FA.
“Sekarang buka ‘kedai baharu’ kerana apa yang berlaku sebelum ini sudah berakhir. Kami fokus kepada keadaan masa kini tanpa memikirkan kejayaan lampau.
“Saya boleh katakan 99.99 peratus kami tidak akan mengulangi kejayaan musim lalu kerana tiada yang pernah melakukannya,” kata Guardiola.
City mendapat rangsangan terbaik apabila Erling Haaland kembali menemui sentuhan penyudah selepas berehat panjang dengan dua gol ketika menewaskan Everton 2-0. – AGENSI