fbpx

Forteen tak pernah merajuk sebab kami lelaki – Izzue Islam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Izzue berkata, Forteen tidak pernah bermasam muka antara satu sama lain.

PETALING JAYA – Tidak merajuk, sebaliknya paduan suara penyanyi Izzue Islam bersama bekas kumpulannya, Forteen dalam single baharu berjudul Noktah Epilog Cinta bukti persahabatan mereka tetap akrab.

Pemilik nama penuh Muhammad Izzul Islam Mazlan itu berkata, single yang digarap selepas enam tahun mereka memilih haluan sendiri pada 2018 adalah permulaan bagi projek lain selepas ini.

“Tiada rajuk pun. Lelaki berbeza dengan perempuan, kalau ada perselisihan faham biasanya tiga hari saja dah reda dan kami boleh berbaik-baik.

“Selepas memilih jalan solo, saya dan kawan lain dalam kumpulan itu masih berhubung selain berjumpa macam biasa.

“Cuma sepanjang tempoh itu saya sibuk memantapkan kerjaya solo, jadi tiada kesempatan untuk terbabit dalam sebarang projek dengan Forteen sehinggalah sekarang,” kata Izzue, 30, kepada Kosmo! Online.

Menurut Izzue, KRU, Alternate dan Forteen sendiri yang melamarnya merealisasikan single terbabit yang disifatkan sebagai rezeki dan hadiah untuk peminat.

Lagu kolaborasi antara KRU Music dan Alternate Records untuk runut bunyi drama Keturunan itu bakal ditayangkan selepas hari raya nanti di TV3.

Malah penyanyi, pelakon dan pengacara popular itu turut meluahkan rasa terharu apabila Noktah Epilog Cinta mendapat sambutan dengan jumlah meraih tontonan melebihi 40,000 dalam YouTube sejak dilancarkan seminggu yang lalu.

“Sudah tentu saya teruja dan bersyukur kerana lagu dan kemunculan saya bersama Forteen ini diterima baik daripada semua pendengar dan juga peminat.

“Bagi kolaborasi kami seterusnya tentu saja saya takkan menolak apatah lagi keseronokkan dapat bergabung dalam projek khas ini seakan mengulang memori lalu,” ujarnya.

Akui Izzue lagi, perasaan masuk studio semula bersama One, Ariz dan Ameer mengimbas kenangan bersama rakan karibnya selepas mereka memilih haluan sendiri.

“Kalau ditanya mengenai keserasian, memang tiada masalah sepanjang rakaman kerana ikatan kami tetap kental macam dulu,” katanya yang tidak menolak andai diajukan tawaran mengadakan persembahan dengan Forteen.

Perpisahan antara Izzue dan Forteen 18 November 2018 menamatkan desas-desus mengenai kemelut dalaman kumpulan yang ditubuhkan KRU Music pada tahun 2011. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI