KOTA BHARU – Kebakaran sebuah rumah yang menjadi tempat tinggal empat beranak di Kampung Penambang di sini petang tadi menimbulkan tanda tanya apabila punca kejadian itu masih samar-samar.
Ia menyebabkan rumah tersebut hangus sebanyak 20 peratus dan dipercayai terjadi akibat kejadian api misteri kira-kira pukul 1.55 petang tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu, Timbalan Penguasa Bomba Zukeri Shafie berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 2 petang.
“Seramai tujuh anggota bersama sebuah jentera ke lokasi kejadian sebelum bertindak memadamkan kebakaran, namun api merebak telah ke bahagian lain.
“Empat sekeluarga tiada di rumah sewaktu kejadian. Pemeriksaan mendapati, kebakaran melibatkan tilam, perkakas rumah dan bahagian siling rumah,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Menurutnya, berdasarkan siasatan, kebakaran itu merupakan kejadian pertama yang berlaku di rumah tersebut. – K! ONLINE