“REZA, apa nasib aku lagi kali ini, semua benda tak menjadi, lebih baik matilah, hidup pun macam tak berguna,” rintih kawan penulis ketika saya bertemunya dua bulan lalu.
Pertemuan malam itu juga terjadi selepas beberapa kali saya memujuknya. Sebelum ini, dia hanya membisu dan menjauhkan diri daripada semua kawan-kawan termasuklah saya.
Terkejut saya, apabila insan yang sebelum ini sentiasa ceria, kini lebih gemar menyendiri. Gayanya, seakan murung, mencerminkan jiwanya persis memikul bebanan emosi.
Tekaan saya betul, segalanya diceritakannya malam itu. Dia alami kemurungan dan sejak itu banyak masalah dipendam sendiri selain tidak gemar bergaul seperti dahulu.
Kemurungan boleh diterjemahkan sebagai gangguan perasaan menyebabkan seseorang itu merasa sedih yang berpanjangan, malah ia berlarutan sekurang-kurangnya dalam masa dua minggu atau lebih.
Pusat Perubatan Universiti Malaya menjelaskan bahawa kemurungan juga merupakan antara faktor yang boleh menyebabkan gangguan mental selain unsur lain seperti kerisauan melampau, bipolar serta schizophrenia.
Menurut Naib Presiden Persatuan Psikologi Malaysia, Dr. Shazli Ezzat Ghazali, individu yang mempunyai simptom-simptom awal masalah itu perlu bertindak segera sebelum menjadi lebih rumit.
“Berkongsilah apa yang dirasai itu dengan orang terdekat sama ada ahli keluarga atau rakan-rakan rapat. Jangan simpan masalah tersebut, ceritalah dan ia sebenarnya sangat membantu.
“Kalau kita lihat, ada kes kemurungan menjadi lebih teruk ekoran individu berkenaan hanya memendam rasa seorang diri dan tidak menceritakan masalah mereka kepada pihak ketiga,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Katanya, pihak ketiga yang dipilih untuk menjadi pendengar oleh individu itu juga perlu lebih peka dan bertanggungjawab agar proses perkongsian mencapai matlamat diinginkan.
“Menerusi sesi itu, pihak ketiga perlu menunjukkan rasa empati iaitu daya menyelami dan memahami emosi orang lain agar mereka merasakan kita cuba memahami apa yang dilalui,” ujarnya.
Dalam konteks ini, reaksi seperti, ‘kau jangan sedih, aku dah pernah lalui lagi teruk’ dan ‘kau manja sangat ni, asyik rapuh saja’ harus dielakkan apabila memberikan jawapan balas kepada mereka.
Konsep empati dengan menyelami situasi mereka merupakan elemen paling tepat untuk digunakan sekali gus memberi perasaan selesa apabila sesi perkongsian masalah itu dijalankan.
Sementara itu, Pakar Perunding Kanan Psikiatri Universiti Malaya, Prof. Madya Dr. Muhammad Muhsin Ahmad Zahari berkata, medium perkongsian masalah seharusnya antara manusia dan bukannya di media sosial.
“Ketika ini, ramai antara kita lebih gemar berkongsi masalah di media sosial dan perkara itu dilihat tidak membantu malahan boleh mengundang kepada tafsiran berbeza orang ramai.
“Perkongsian mereka boleh disalahertikan oleh netizen, malah mungkin ada yang mengecam sekali gus menyebabkan masalah itu bertambah rumit,” ujarnya.
Justeru, Muhammad Muhsin menggesa individu yang mempunyai masalah untuk segera mendapatkan rawatan.