Bukan mudah untuk seseorang itu menerima hakikat dia terpaksa memakai gelang merah jambu, tambahan pula terpaksa dikuarantin selama 14 hari di pusat kuarantin tertentu.
Beberapa kali kes si pemakai gelang merah jambu ini dilaporkan media, lari dari pusat kuarantin, pernah ada kes sehingga membunuh diri setelah disahkan positif Covid-19.
Seorang teman rapat bercerita kepada penulis, dia terpaksa merentas negeri dari Zon Merah ke Zon Kuning disebabkan perkara yang tidak dapat dielakkan.
Ceritanya, ada kematian ahli keluarganya di kampung, jadi terpaksa melepasi prosedur polis dan berlepas ke negeri Zon Kuning.
Setibanya di negeri berkenaan, dia terpaksa melalui prosedur Kementerian Kesihatan dengan membuat ujian calitan Covid-19 dan dipakaikan gelang merah jambu.
Walaupun tidak disahkan lagi sama ada dia dijangkiti Covid-19 atau sebaliknya, malah tiada kontak dengan pesakit Covid-19, memakai gelang merah jambu adalah wajib.
“Walaupun sudah ada surat Kementerian Kesihatan kawalan pergerakan tempat yang boleh dan tidak boleh pergi, orang sekeliling memberi persepsi seolah-olah saya adalah pesakit Covid-19,” katanya.
Ceritanya lagi, ketika hendak mengambil keputusan ujian calitan itu dan perlu ke bandar, gelang merah jambu di lengan terpaksa disembunyikan dalam lengan baju.
“Takut orang nampak nanti kena tular dan ditangkap polis pula, jadi kena sembunyi atas lengan sikit takut orang nampak ketika memandu kereta.
“Selepas menerima keputusan ujian calitan negatif dan boleh digunting gelang merah jambu itu, ada satu perasaan yang sukar digambarkan, lega selega-leganya,” katanya.
Berdasarkan pengalaman teman penulis yang terpaksa dipakaikan gelang merah jambu itu, penulis berpendapat stigma gelang itu memang besar.
Sama ada anda pesakit, orang yang kena kuarantin kendiri 14 hari atau orang yang merentas negeri ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat, Diperketat dan sebagainya gelang itu wajib dipakai.
Pendapat peribadi penulis sepatutnya gelang itu mempunyai pelbagai warna dan tidak hanya merah jambu untuk pukul rata bagi semua kelas si pemakai.
Setakat ini, Kedah pernah memperkenalkan gelang putih untuk ketua keluarga keluar membeli barang keperluan sahaja, sepatutnya gelang warna lain turut ada untuk si pemakai yang merentas negeri atau kuarantin kendiri.