MILAN – AC Milan berjaya mengesahkan slot ke peringkat kalah mati Liga Europa selepas bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk menewaskan Celtic 4-2 pada aksi kelima Kumpulan H di San Siro awal pagi semalam.
Ia juga adalah perlawanan pertama bagi ketua jurulatih Milan, Stefano Pioli yang kembali bersama pasukannya selepas terlepas tiga aksi Liga Europa kerana menjalani kuarantin kendiri ekoran positif wabak pandemik Covid-19 sebelum ini.
“Kami bermula dengan baik tetapi dua gol awal Celtic sedikit menyukarkan kami. Namun, ia secara tidak langsung mengajar para pemain untuk memberikan segala yang terbaik agar dapat memenangi perlawanan ini.
“Saya gembira walaupun bermain tanpa (Simon) Kjaer dan menurunkan kebanyakan pemain muda tetapi kami masih berupaya bangkit setelah ketinggalan dua gol,” kata Pioli.
Dalam aksi itu, The Rossonneri dikejutkan dengan dua gol Celtic melalui Tomas Rogic (m-7) dan Odsonne Edouard (m-14) sebelum Milan bangkit menyamakan kedudukan menerusi Hakan Calhanoglu dan Samu Castillejo pada minit ke-24 serta 26.
Milan akhirnya kembali selesa dengan gol ketiga menerusi percubaan cantik bintang muda Norway, Jens Petter Hauge (m-50) sebelum Brahim Diaz melengkapkan kemenangan 4-0 gergasi Itali itu dengan jaringan keempat pada minit ke-82.
Kemenangan itu mengukuhkan Milan di tempat kedua dengan 10 mata, empat mata mengatasi pasukan tangga ketiga, Sparta Praha yang tewas 1-2 kepada pendahulu, Lille awal pagi semalam. – AGENSI