TAWAU – Tindakan seorang lelaki mengubah suai bahagian belakang kenderaan dengan menyimpan tangki tambahan disyaki untuk menyeludup diesel mengundang padah apabila ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) baru-baru ini.
Suspek yang memandu kenderaan jenis Toyota Land Cruiser ditahan PPM Tawau ketika keluar dari sebuah stesen minyak di Jalan Sin Onn kira-kira pukul 10.40 malam, 9 Februari lalu.
Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Ariffin berkata, ketika menjalankan rondaan pihaknya mengesan sebuah kenderaan yang mencurigakan keluar dari stesen minyak tersebut.
“Pasukan PPM mengekori Toyota Land Cruiser itu sebelum menahannya di Jalan Sin Onn. Pemeriksaan lanjut menemukan tangki tambahan yang diubah suai untuk menyimpan diesel di bahagian belakang kenderaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Pemeriksaan lanjut, suspek gagal mengemukakan dokumen atau permit daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk membawa diesel berkenaan.
“Kenderaan dan 800 liter diesel bernilai RM1,720 dirampas. Tangkapan dan rampasan dibawa ke Pejabat PPM Tawau untuk tindakan lanjut,” katanya. – KOSMO! ONLINE