PETALING JAYA – Aliran trafik dilaporkan sesak di Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak (KLK) bagi arah barat berikutan pertambahan kenderaan susulan orang ramai mula pulang ke ibu negara selepas perayaan Tahun Baharu Cina.
Menurut Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM), setakat pukul 6.30 petang, trafik sesak 2.1 kilometer (km) dari KM63.9 sehingga Plaza Tol Bentong.
“Kesesakan bersambung sepanjang 9.9 km selepas Plaza Tol Bentong sehingga ke kawasan Lentang.
“Selain itu, trafik juga sesak sepanjang 16.1 km dari Genting Sempah menuju ke Plaza Tol Gombak,” katanya, hari ini.
Bagi Lebuh Raya Utara-Selatan, aliran trafik dilaporkan perlahan bagi arah selatan dari Pedas Linggi ke Simpang Ampat.
“Bagaimanapun, tiada lorong yang terhalang, namun pengguna jalan raya dinasihatkan agar berwaspada,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE