JOHOR BAHRU – Dua anggota polis direman selama dua hari bermula semalam bagi membantu siasatan kes pemerasan membabitkan wang tunai RM35,000 dibebaskan dengan jaminan polis.
Ketua Polis Johor, Komisioner M. Kumar berkata, kedua-dua anggota lain-lain dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam diberi jaminan polis hari ini.
Menurutnya, mereka yang ditahan masing-masing berusia 29 dan 37 tahun antara 10 anggota termasuk seorang pegawai berpangkat Inspektor ditangkap bagi membantu siasatan berhubung pemerasan membabitkan keluarga suspek yang ditahan berkaitan kes dadah.
“Dua anggota dari IPD Seri Alam yang ditahan semalam dibebaskan dengan jaminan polis hari ini.
“Mereka diberi jaminan sementara kertas siasatan dilengkapkan. Kita akan rujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya selepas kertas siasatan lengkap,”katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Rabu lalu, seorang pegawai polis berpangkat Inspektor dan tujuh anggota dari IPD Seri Alam ditahan susulan kes pemerasan terbabit.
Kumar dilaporkan berkata, mereka yang berusia 20 hingga 50 tahun itu direman empat hari untuk membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, pada pukul 9.32 malam Isnin lalu, Polis Johor menerima laporan berkaitan kes dakwaan pemerasan membabitkan wang tunai RM35,000 oleh pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik di IPD Seri Alam.
Seorang tukang cuci wanita berusia 41 tahun dikatakan membuat laporan mendakwa seorang anggota polis meminta wang RM40,000 bagi membebaskan adiknya yang ditahan berkaitan kes dadah.
Pengadu dikatakan hadir ke IPD Seri Alam dan menyerahkan wang RM35,000 kepada anggota berkenaan, namun mendakwa adiknya masih tidak dibebaskan hingga kini.
Susulan itu, seorang pegawai serta tujuh anggota termasuk seorang wanita di IPD Seri Alam ditahan kira-kira pukul 2 pagi Selasa lalu untuk siasatan lanjut.-KOSMO! ONLINE.