DUNGUN – Seorang ahli perniagaan dari China yang sedang bercuti bersama keluarganya lemas sewaktu mandi di Pantai Tanjung Jara di sini berhampiran resort penginapan mereka hari ini.
Sewaktu kejadian pada pukul 11.30 pagi, mangsa, Guo Lei, 55, yang berasal dari Shanghai, China sedang mandi bersama menantu lelakinya yang berusia 34 tahun.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Maizura Abdul Kadir berkata, mangsa dikatakan tiba-tiba dipukul ombak besar sebelum dihanyutkan ke tengah laut lalu lemas.
“Menantu lelaki mangsa (Lei) cuba untuk menyelamatkan bapa mentuanya tetapi gagal.
“Begitupun, mangsa dihanyutkan ke tepi pantai semula oleh ombak sebelum dibawa balik ke daratan oleh menantunya dengan bantuan beberapa pekerja resort,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Maizura berkata, Lei kemudiannya diberi bantuan pernafasan (CPR) oleh kakitangan resort sebelum anggota bomba dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) tiba di lokasi kejadian.
Beliau berkata, mangsa bagaimanapun gagal diselamatkan dan telah disahkan meninggal dunia.
“Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun di sini untuk tindakan lanjut,” katanya. – KOSMO! ONLINE