MANILA – Seorang kanak-kanak diselamatkan selepas hampir 60 jam terperangkap di dalam tanah runtuh yang melanda sebuah kampung perlombongan di kawasan pergunungan selatan Filipina.
Budak perempuan yang dikatakan Palang Merah Filipina berusia tiga tahun itu adalah antara sebilangan mangsa yang hilang selepas tanah runtuh menimbus kampung tersebut akibat hujan lebat.
Ketika mangsa diselamatkan semalam, anggota penyelamat melaporkan bahawa angka kematian susulan bencana alam yang melanda malam Selasa lalu itu meningkat hampir dua kali ganda kepada 27 orang.
Dia ditemui ketika anggota penyelamat sedang menggali tanah menggunakan tangan dan penyodok untuk mencari mangsa lain di kampung Masara, selatan Pulau Mindanao.
“Ia satu keajaiban. Dia memberi harapan kepada pasukan penyelamat. Daya tahan kanak-kanak biasanya kurang daripada orang dewasa, namun dia selamat,” kata pegawai agensi bencana, Edward Macapili.
Sebuah klip video memaparkan seorang anggota penyelamat membawa mangsa dalam keadaan sedang menangis dan berlumuran lumpur itu telah dikongsikan di laman Facebook.
“Kita boleh lihat dalam video tersebut bahawa kanak-kanak itu tidak mengalami sebarang kecederaan,” tambah Macapili.
Mangsa dipertemukan dengan bapanya sebelum dibawa ke kemudahan perubatan untuk pemeriksaan lanjut.
Palang Merah Filipina kemudian berkongsi gambar memaparkan pekerja mereka membawa gadis itu yang dibalut dengan selimut kecemasan dan menggunakan tangki oksigen ke hospital di Mawab. – AFP