fbpx

39 individu terlibat pelaburan haram ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Razali menunjukkan antara barangan yang dirampas dalam satu serbuan ke atas sebuah premis yang menjalankan aktiviti pelaburan haram di Bandar Puteri, Puchong malam tadi.

SERDANG – Seramai 39 individu termasuk seorang wanita warganegara China ditahan dalam satu serbuan ke atas sebuah premis di Bandar Puteri, Puchong di sini semalam berhubung kegiatan pelaburan haram dalam talian.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Razali Abu Samah berkata, kesemua mereka ditahan menerusi serbuan Ops Nuri yang dilakukan kira-kira pukul 9 malam oleh sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang.

“Mereka yang ditahan terdiri daripada 23 lelaki dan 15 wanita warga tempatan serta seorang wanita warga China berusia 20 hingga 37 tahun dan disyaki terlibat dengan kegiatan pelaburan haram jenis Forex sejak tiga tahun lalu.

“Turut dirampas adalah sebanyak 39 buah komputer, 23 unit telefon bimbit serta wang tunai berjumlah RM30,800 bagi membantu siasatan,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Razali, semakan yang dilakukan mendapati syarikat berkenaan berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) sebagai sebuah syarikat tele-pemasaran dan menyewa di premis berkenaan dengan kadar bayaran RM24,000 sebulan.

“Kesemua suspek warga tempatan berperanan sebagai operator yang membuat panggilan kepada pelanggan dari China untuk menawarkan mereka menyertai pelaburan tersebut menggunakan aplikasi seperti WeChat.

“Kesemua pekerja menerima bayaran antara RM2,000 hingga RM6,000 mengikut jawatan berserta komisen dengan waktu bekerja di antara pukul 8 pagi sehingga 10 malam setiap hari,” jelas beliau.

Mengulas lanjut, Razali berkata, kesemua individu yang ditahan turut dikenakan kompaun kerana didapati gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Kesemua yang ditahan kemudiannya dibawa ke IPD Serdang untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” tegas beliau. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI