SEBELUM memilih hiasan dalaman yang mahu diterjemah pada kediaman, seseorang pemilik perlu membuat banyak penyelidikan tentang kesesuaiannya dengan setiap ruang rumah.
Ini bagi memastikan hasilnya nanti bukan sahaja cantik, malah ia juga seimbang dan menyatu dengan baik bersama perabot dan perhiasan kediaman.
Bagi Ain Jamlus, dia mengakui melakukan banyak carian dan penyelidikan berkenaan gaya rumah yang dimahukan.
Sebagai contoh, dia akan mencari rekaan yang disukainya menerusi aplikasi Pinterest dan menyimpannya sebagai rujukan.
Bagi Ain, cara tersebut kemudiannya dapat membantu menentukan gaya kediaman yang sesuai buat dia dan suami.
Apabila dipandang dekorasinya, sukar untuk tidak jatuh hati terhadap hiasan dalaman diterjemah Ain pada kediaman teres dua tingkat miliknya itu yang terletak di Shah Alam, Selangor.
Padanan rona hitam, kelabu dan putih yang seimbang dengan dekorasi berkonsep moden kontemporari itu cukup memukau sesiapa sahaja yang memandang.
Kongsi Ain, penentuan perabot merupakan satu ciri yang amat penting dalam proses menghias rumah.
“Penggunaan saiz perabot yang tepat amat membantu dalam mencari keseimbangan pada sesebuah ruang.
“Ini bukan sahaja terhad pada saiz perabot, tetapi juga meliputi warna dan juga pencahayaan,” katanya.
Ain memilih rona putih, hitam dan kelabu pada ruang tamu kediaman dengan diserikan rona coklat kayu di lantai dan tangga.
Hasilnya, ruang itu tampak cukup moden dan luas.
Pencahayaan semula jadi juga membantu ruang itu tampak mendamaikan dan selesa untuk menghabiskan masa bersama keluarga.
Sofa rona kelabu kecoklatan dipadankan dengan meja kopi rona sama bagi mencipta kesenadaan.
Pemilihan permaidani bercorak yang dipadankan dengan sofa polos tampak cukup serasi dan menjadikan ruang tamu nampak lebih berkarakter.
Paduan rona sama diteruskan sehingga ke ruang makan keluarga yang cukup memikat.
Ain memilih meja makan segi empat tepat daripada bahan marmar yang dipadankan dengan kerusi makan rekaan moden.
Titik tumpuan utama pada ruangan itu pula adalah bingkai gambar hitam dan putih yang dilihat cukup kena dengan konsep moden kontemporari.
Menjengah ke ruangan dapur pula, Ain masih mengekalkan pilihan rona natural pada ruangan itu menerusi pemilihan kabinet dapur.
Jelas Ain, dapur kediamannya berkonsep terbuka dengan gabungan dua warna pada kabinet iaitu kelabu dan putih.
Penggunaan barangan yang minimalis juga menjadikan ruang dapur tampil kemas dan rapi.
Kongsi Ain, dia menghabiskan sekitar RM90,000 untuk menghias kediamannya.