MANCHESTER – Manchester City berpeluang untuk melonjak ke kedudukan teratas saingan Liga Perdana Inggeris biarpun untuk hanya beberapa jam sekiranya berjaya meraih kemenangan ke atas Everton malam ini.
Kemenangan tersebut cukup penting buat skuad kendalian Pep Guardiola itu ketika mereka sedang berusaha menekan kedudukan Liverpool selain membuktikan keinginan besar bagi mengekalkan kejuaraan liga buat kali keempat berturut-turut.
City hanya ketinggalan dua mata di belakang Liverpool untuk berada di kedudukan kedua, namun mereka masih kekurangan satu perlawanan menyebabkan peluang beraksi di laman sendiri menentang Everton kali ini tidak boleh disia-siakan.
Bagaimanapun, City dijangka tidak berdepan masalah besar untuk menewaskan The Toffees apabila Guardiola memiliki skuad lengkap yang bebas daripada masalah kecederaan serta berada pada tahap kecergasan terbaik.
Penggempur utama, Erling Haaland dijangka kembali ke dalam senarai kesebelasan utama untuk mengetuai jentera serangan, manakala Kevin De Bruyne juga akan diberi peranan sebagai ‘jeneral padang’ pasukan itu.
Benteng pertahanan juga menyaksikan Ruben Dias bakal mendapat semula rakan gandingan terbaiknya apabila John Stone dilaporkan sudah pulih daripada kecederaan dan bersedia untuk diturunkan.
Guardiola turut memiliki beberapa pilihan di bahagian serangan apabila Jeremy Doku, Jack Grealish serta Matheus Nunes selain Phil Foden bersedia untuk menggempur gawang Everton pada aksi kali ini. – AGENSI