HARIMAU Malaya berdepan tugasan dua dalam satu untuk mencipta skrip baharu perjalanan pasukan pada masa akan datang terutamanya jika sekali lagi berjaya layak ke Piala Asia secara merit.
Selepas memulakan kempen kelayakan kedua Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 dengan cemerlang, skuad negara kini tiada jalan lain kecuali segera mencari pengganti pemain sedia ada terutamanya bagi mengisi tempat ditinggalkan pemain veteran.
Jika layak ke Piala Asia 2027, Harimau Malaya mungkin akan hilang sekurang-kurangnya tujuh pemain, Natxo Insa, Brendan Gan, Junior Eldstal, Corbin Ong, Daniel Ting dan pemain naturalisasi, Paulo Josue kerana ketika itu mereka sudah pun berusia 35 dan ke atas.
Gerak kerja untuk menyediakan pemain berkualiti harus bermula daripada sekarang bagi mengelak Harimau Malaya kembali ‘tempang’ berbanding terus dilamun cerita hebat mengikat Korea Selatan 3-3.
Bekas pemain kebangsaan, Rezal Zambery Yahya yang kini galas jawatan Pengarah Pembangunan Akar Umbi Kelantan United FC (KUFC) merasakan pemain tempatan harus sedar Kim Pan-gon sudah menetapkan tanda aras lebih tinggi terhadap kualiti skuad kebangsaan.
“Perkara ini (pemain naturalisasi dan warisan) ada pro dan kontra, iaitu kita kena lihat pelan jangka masa pendek serta panjang. Untuk jangka masa pendek pada masa kita sudah pun berjaya.
“Untuk merealisasikan apa juga sasaran, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) perlu cari solusi termasuklah mencari pemain warisan yang dirasakan mampu beri manfaat dan ikut cara jurulatih.
“Pemain tempatan pun tidak boleh lihat saja, mereka juga kena cuba untuk bersaing. Tahap par pasukan kebangsaan makin tinggi, jadi mana-mana pemain yang mahu sertai Harimau Malaya kena gandakan lagi usaha mereka,” katanya.
Paling utama Harimau Malaya harus mengelak daripada terkena ‘penyakit’ terlalu bergantung kepada bintang naturalisasi dan warisan sebaliknya pembangunan akar umbi perlu diperkasakan untuk melahirkan lebih ramai Arif Aiman Hanapi.
Ketika ini beberapa nama pemain warisan di luar negara hangat dicanang bakal memperkuatkan Harimau Malaya termasuklah adik beradik, Marcus dan James Tavernier yang beraksi bersama Bournemouth dan Rangers.