KOTA TINGGI – Suasana pilu menyelubungi kawasan Tanah Perkuburan Islam Felda Sungai Mas di sini yang menjadi lokasi pengebumian jenazah pendaki Zahalita Othman, 52, selepas disahkan meninggal dunia akibat sesak nafas ketika mendaki Gunung Reskit, Kuala Tahan Pahang Selasa lalu.
Jenazah ibu kepada lima orang anak tersebut selamat dikebumikan pada pukul 2 pagi tadi selepas disolatkan di kampung halamannya itu sebaik jasadnya dibawa daripada Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan semalam.
Jasad wanita berkenaan berjaya dibawa keluar dari lokasi semalam selepas pelbagai usaha dilakukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) gagal disebabkan cuaca buruk.
Zahalita meninggal dunia kira-kira pukul 7.30 pagi ketika mengikuti program pendakian gunung bersama kumpulannya sejak 1 Februari lepas.
Sementara itu anak ketiga Allahyarham, Luqman Haziq Saharuddin, 25, mengakui masih terkejut dengan pemergian ibunya.
“Ibu mula minat mendaki sejak empat atau lima tahun lepas. Mula-mula agak terkejut dan seperti tidak percaya, ibu sudah tiada. Sebab kita kenal ibu kita, dia tiada sakit dan seorang yang sihat. Tetapi kami redha atas pemergiannya,” katanya.
Anak bongsunya, Safiyyah Umairah, 17 berkata, Allahyarham sempat memasak dan menyimpan bekalan masakan selama seminggu untuk anak-anaknya itu. – KOSMO! ONLINE