LONDON – Putera William yang memakai gelaran The Prince of Wales, buat kali pertama bercakap kepada umum tentang penyakit kanser yang dihidapi ayahandanya, Raja Charles, lapor akhbar Independent hari ini.
Dalam ucapan beliau, putera berkenaan melahirkan rasa terhutang budi kepada rakyat jelata kerana ‘ucapan kebaikan dan sokongan mereka.’
Kata-kata pujian Putera William itu disuarakan semasa satu majlis makan malam di mana beliau turut mengucapkan terima kasih kepada mereka yang mendoakan isterinya, Princess of Wales yang beransur sembuh selepas menjalani pembedahan abdomen.
“Ia sungguh bermakna buat kami semua (keluarga diraja),” katanya.
Raja Charles juga memecahkan kesunyian semalam untuk memberikan kenyataan sempena sambutan kemerdekaan ke-50 bekas tanah jajahan Britain, Grenada.
Monarki berkenaan memohon maaf kerana tidak dapat melawat negara pulau Carribean tersebut dan menyebut tentang hidangan nasional Grenada yang dikenali sebagai ‘Oil Down’.
Sementara itu, Putera Harry menaiki penerbangan pulang ke California cuma 26 jam selepas tiba untuk melawat ayahandanya selepas Raja Charles disahkan menghidap kanser.
Putera Harry yang memakai gelaran The Duke of Sussex, dilihat di Lapangan Terbang Heathrow London tengah hari semalam sebelum menaiki penerbangan pulang ke Amerika Syarikat. – AGENSI