fbpx

Ramai lelaki tak sedar hidap pembesaran prostat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pengesanan awal sangat penting bagi mengenal pasti diagnosis terbaik merawat BPH. – Gambar hiasan

BAGI sebilangan lelaki, apabila ditanya tentang kedudukan kelenjar prostat mereka, mungkin ramai tidak mengetahuinya.

Sebenarnya, kelenjar prostat merupakan satu organ di dalam tubuh lelaki sebesar kacang walnut yang terletak pada pangkal pundi kencing.

Kelenjar ini menghasilkan cecair yang melindungi dan menyuburkan sperma, manakala ototnya memastikan pundi kencing tidak mengalami kebocoran.

Bagaimanapun, organ penting ini boleh menimbulkan masalah apabila seseorang lelaki itu semakin menginjak usia. Salah satunya adalah masalah hiperplasia prostat benigna (BPH) atau pembesaran prostat.

Menurut Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2019, kira-kira 16 peratus lelaki Malaysia berusia lebih 40 tahun menghidap beberapa tahap BPH.

Angka itu meningkat kepada 33 peratus dalam kalangan lelaki berusia 75 tahun dan ke atas.

Meskipun keadaan ini lazim dihadapi kebanyakan lelaki, namun BPH selalunya berlaku tanpa disedari, sekali gus menyebabkan ramai individu tidak menyedarinya.

Pakar Perunding Urologi dan Endourologi Pusat Perubatan Sunway, Dr. Christopher Lee Kheng Siang berkata, BPH berlaku akibat pembesaran kelenjar prostat, ia bukan kanser.

Menurutnya, masalah itu boleh menjejaskan kualiti hidup seseorang lelaki akibat gejala urinari yang menyulitkan.

“BPH adalah penyakit serius yang mungkin menyebabkan sedikit ketidakselesaan dan kesukaran pada peringkat awal.

“Namun, jika tidak ditangani sebaiknya, ia boleh menjadi semakin teruk,” katanya.

BPH adalah masalah melibatkan pembesaran prostat (kanan) berbanding keadaan normal (kiri).

Tambahnya, keadaan ini dikenali sebagai pengekalan kencing akut yang mengakibatkan uretra menjadi tersumbat sepenuhnya.

Jelasnya, keadaan ini akan menyebabkan ketidakupayaan untuk membuang air kecil serta menimbulkan risiko kerosakan buah pinggang, jangkitan saluran kencing dan pembentukan batu karang.

Mengulas lanjut, Dr. Christopher berkata, ramai lelaki menganggap gejala urinari sebagai sebahagian daripada proses penuaan semula jadi tanpa menyedari bahawa ia merupakan keadaan perubatan yang perlu diberi perhatian.

“Jika anda tidak mengambil alkohol atau minum air berlebihan sebelum tidur, anda tidak sepatutnya terjaga tengah malam untuk pergi ke bilik air.

“Gejala lain adalah terdesak membuang air kecil dan kesukaran menahan air kecil hingga menyebabkan sedikit kebocoran,” jelasnya.

Antara gejala lain termasuklah sukar untuk mula membuang air kecil kerana ia terhalang oleh uretra. Ini menjadikan penghidapnya sukar untuk mula kencing dan terpaksa meneran semasa membuang air kecil.

Selain itu, Dr. Christopher menerangkan berlaku juga aliran air kencing tidak lancar kerana uretra telah menjadi sempit disebabkan pembesaran prostat.

“Kencing tidak lawas atau meleleh sesudah membuang air kecil akan menyebabkan penghidapnya sering berasa tidak selesa atau kerap membuang air kecil.

“Ketidakupayaan membuang air kecil dalam kes-kes yang serius apabila seseorang lelaki itu tidak boleh membuang air kecil.

“Ia merupakan keadaan kecemasan dan memerlukan perhatian perubatan dengan segera,” terangnya.

Antara golongan berisiko lebih tinggi untuk mendapat BPH adalah lelaki berusia lebih 40 tahun, mempunyai sejarah keluarga mengalami BPH, individu yang mempunyai masalah kesihatan seperti obesiti, penyakit jantung, masalah peredaran darah, diabetes jenis 2 atau kurang bersenam.

Bagaimanapun Dr. Christopher menjelaskan, terdapat cara yang berkesan untuk menangani keadaan ini, namun bergantung kepada tahap.

“Bagi gejala ringan, pengubahsuaian gaya hidup seperti mengawal pengambilan cecair serta mengurangkan pengambilan kafein dan gula boleh membantu meringankan gejala BPH.

“Bagi gejala sederhana, pengambilan ubat-ubatan boleh membantu melegakan otot prostat dan uretra atau mengurangkan saiz prostat secara beransur-ansur bagi membolehkan air kencing mengalir dengan lancar.

“Manakala, bagi lelaki yang mengalami BPH lebih teruk atau mereka yang tiada kesan dengan ubat-ubatan, beberapa prosedur pembedahan berbeza boleh dilakukan,” katanya.

DR. CHRISTOPHER

Tambahnya, penting bagi pesakit untuk berunding dengan pengamal penjagaan kesihatan profesional dan meneroka pilihan yang sesuai dengan keadaan mereka.

Pengesanan awal adalah penting dan pemeriksaan berkala dapat membantu memastikan diagnosis dilakukan tepat pada masanya.

Golongan lelaki perlu memahami bahawa mendapatkan nasihat perubatan dan melihat pilihan rawatan yang ada boleh meningkatkan kualiti hidup mereka dengan ketara.

Bagi pesakit yang merasakan menghidap atau mengesyaki mungkin menghidap BPH, Dr. Christopher mengesyorkan agar mereka melakukan ujian Skor Gejala Prostat Antarabangsa (IPSS) yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia.

“Pilihan rawatan untuk BPH bergantung pada tahap kronik penyakit dan beberapa pilihan rawatan pembedahan bagi kes BPH sederhana hingga teruk.

“Reseksi Prostat Melalui Uretra (TURP) adalah salah satu pembedahan yang paling biasa dan diamalkan secara meluas untuk merawat BPH sejak 40 tahun lalu, namun mempunyai kesan sampingan,” jelasnya.

Tambahnya, terapi wap air atau terapi gelombang mikro adalah prosedur moden, invasif minimum yang dilakukan sebagai rawatan pesakit luar dan sesuai untuk kes prostat bersaiz sederhana.

Ia mempunyai kelebihan tambahan iaitu risiko kesan sampingan seksual yang jauh lebih rendah.

Selain itu, laser enukleasi atau bipolar enukleasi pada prostat paling sesuai dilakukan untuk prostat besar sebagai alternatif kaedah pembedahan TURP.

Manakala, prostatektomi robotik ialah pembedahan tercanggih untuk prostat yang sangat besar sebagai alternatif kepada pembedahan terbuka untuk membuang kelenjar prostat.

Memahami kesihatan urinari dan mengetahui kaedah untuk merawatnya dapat memberi harapan kepada ramai lelaki dalam mencari rawatan sesuai.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI