BANGKOK – Seorang wanita yang menggunakan aplikasi pemetaan Google Maps untuk pergi ke sebuah kedai kopi, terkandas di kawasan berbukit selepas kenderan dipandunya melalui jalan tidak berturap, lapor laman berita Thaiger hari ini.
Berdasarkan video di platform TikTok, wanita tersebut dilihat berdiri di luar kenderaannya yang tidak dapat bergerak.
Menurut laporan, pemandu tersebut bertolak ke sebuah kedai kopi di kawasan berbukit Khao Kho dengan berpandukan Google Maps.
Namun, ia berubah menjadi perjalanan berbahaya apabila Sistem Pengesanan Global (GPS) membawa kereta itu melalui kawasan yang semakin lasak.
Lebih memburukkan keadaan, kereta baharu itu terperangkap di laluan curam di tengah-tengah kawasan berbukit.
Wanita itu terpaksa meminta bantuan daripada kampung berhampiran sebelum sebuah kenderaan pacuan empat roda tiba dan membantunya.
Video itu menjadi tular di laman sosial dengan ramai netizen turut berkongsikan pengalaman buruk mereka menggunakan aplikasi pemetaan sehingga menyebabkan mereka tersasar arah. – AGENSI