DOHA – Percaturan pengendali Qatar, Marquez Lopez yang meninggalkan ketua pasukan, Hassan Al Haydos di bangku simpanan jelas menjadi keputusan tepat selepas berjaya menewaskan Iran 3-2 pada aksi separuh akhir di Stadium Al Thumama, kelmarin.
Lopez beranggapan mempertaruhkan gandingan Homam Ahmed, Yusuf Abdurisag, Akram Afif dan Almoez Ali yang mempunyai kelajuan untuk memecah masuk ke kawasan penalti Iran adalah lebih sesuai.
“Pertama sekali saya begitu gembira buat seluruh pasukan dan rakyat Qatar. Perlawanan ini cukup sukar, namun kami bermain di perlawanan besar dan pemain berjaya menyempurnakan apa yang kami impikan.
“Kami cuba bermain dengan lebih pantas di bahagian serangan, sebab itu kami letakkan empat pemain di posisi itu kerana kami tahu kami memiliki pemain yang laju.
“Kami cuba mencari ruang di bahagian belakang pertahanan Iran. Kami perlu meraikan kejayaan ini sebelum melakukan persiapan untuk berdepan satu lagi halangan untuk cuba mempertahankan kejuaraan,” katanya.
Kesemua gol Qatar dijaringkan oleh Jassem Gaber, Akram Afif dan Almoez Ali, manakala gol Iran terhasil menerusi Sardar Azmoun dan Alireza Jahanbakhsh.
Di sebalik kejayaan mara ke final buat kali kedua berturut-turut, Lopez juga memberikan kredit kepada dua bekas pengendali pasukan sebelum ini Felix Sanchez dan Carlos Quieroz.
“Saya baharu saja mengambil tugas selaku pengendali dan satu-satunya perkara yang membantu saya adalah apabila saya sudah mengenali pemain. Saya menghormati Carlos dan Felix yang sudah lakukan tugas dengan cukup baik.
“Saya dilantik pada Disember dan falsafah saya adalah untuk tidak mengatakan ia adalah kejayaan saya seorang. Saya hanyalah individu yang cuba terapkan cara permainan untuk membolehkan pemain dapatkan keputusan terbaik,” katanya. – AGENSI