PETALING JAYA – Institut Koperasi Malaysia (IKMa) disaran untuk meningkatkan latihan kepada semua ahli koperasi di seluruh negara.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ramanan Ramakrishnan berkata, usaha itu wajar dilaksanakan memandangkan ahli koperasi merangkumi 20 peratus penduduk negara.
“Aktiviti gerakan koperasi yang berkonsepkan keusahawanan mampu meningkatkan taraf hidup rakyat. Kalau kita tengok ada lebih 7 juta ahli dan kira-kira 15,000 koperasi sedia ada di Malaysia
“Jadi, saya minta IKMa untuk mengambil satu pendirian selain memainkan peranan dalam memberi latihan kepada semua ahli koperasi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Majlis Perasmian Program Memasyarakatkan Koperasi Madani 2024 (Maskop) di IKMa, di sini hari ini.
Mengulas mengenai Maskop, Ramanan berkata, ia bertujuan untuk memberi informasi kepada koperasi dalam aspek latihan, perniagaan dan ekonomi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop).
“Saya yakin dengan kesungguhan IKMa dalam membangunkan modal insan koperasi bagi mencapai aspirasi kerajaan serta membantu gerakan koperasi.
“Inisiatif ini selaras dengan Dasar Koperasi Malaysia (DaKoM) 2023 yang mensasarkan tiga petunjuk prestasi utama (KPI) iaitu perolehan, koperasi aktif dan indeks kesejahteraan Anggota (IndeKA),” jelasnya. – KOSMO! ONLINE