fbpx

Pasang perangkap sampah di 35 anak Sungai Klang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Izham (kiri) melihat peta blok projek pendalaman dan pelebaran Sungai Klang di Alam Impian, Shah Alam hari ini. -Foto SADDAM YUSOFF

SHAH ALAM – Perangkap sampah akan dipasang di 35 anak Sungai Klang bermula tahun ini bagi mengelakkan lambakan sampah seterusnya memudahkan proses pendalaman dan penjagaan kualiti sungai tersebut.

Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Izham Hashim berkata, berdasarkan kerja-kerja pengorekan dan penyedutan mendapati sebanyak kira-kira 130 tan sampah telah dibawa keluar daripada sungai tersebut.

Katanya, ini termasuk tilam, kereta sorong bayi, tayar, seluar jeans yang merosakkan mesin pengorek.

“Secara purata, Sungai Klang ini mempunyai kedalaman empat meter namun dua hingga tiga meter sahaja dipenuhi sampah. Hanya satu meter sahaja air dan sebab itu peranan sungai tidak berlaku.

“Panjang projek sungai ini adalah 56 kilometer namun kita hanya berjaya menyiapkan dalam sehari pada kadar 30 meter sahaja disebabkan sampah ini. Namun, kita masih mengikut perancangan dengan siap sepenuhnya pada 2028,” katanya kepada pemberita selepas melawat projek mitigasi banjir Klang di Alam Impian, di sini hari ini.

Projek Pemuliharaan Sungai Klang terdiri daripada tiga komponen kejuruteraan utama iaitu reka bentuk (analisis hidrologi dan hidraulik, kerja pembaikan tebing dan perlindungan cerun, termasuk keperluan benteng banjir), pembinaan dan penyelenggaraan susulan.

Projek pendalaman dan pelebaran Sungai Klang mempunyai 12 zon dalam empat blok utama.

Izham menjelaskan, pihaknya juga akan berbincang dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam masa terdekat bagi pengurusan sampah tersebut.

“Ini disebabkan kita (Sungai Klang di Selangor) downstream. Kita menerima apa yang dihantar dari atas. Air banyak (termasuk sampah) dari Kuala Lumpur.

“Hendak korek sungai bukan murah dengan projek ini sahaja menelan belanja RM700 juta. Bayangkan kalau buat lebih kerap, mana dana kita (hendak dapatkan). Kalau boleh kawal atau tiada sampah, kita sedut sahaja (tanpa perlu lakukan pemotongan dasar sungai),”katanya.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan, caj turut dikenakan kepada mana-mana kilang yang membuang sisa mereka ke dalam Sungai Klang.

“Ini bagi memastikan Zero Discharge Policy (ZDP) dipatuhi kilang-kilang seterusnya menggalakkan kilang-kilang ini untuk kitar semula air mereka.

“Semua ini bagi memastikan kelestarian Sungai Klang dari segi sampah dan kualiti air sebagai salah satu sumber bekalan air,” katanya. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI