PETALING JAYA – Persatuan Ahli Farmasi Malaysia (MPS) menegaskan produk penyedut hidung dikenali sebagai ‘energy stick’ adalah sejenis produk yang berbahaya sekali gus menjadi ancaman kepada kesihatan awam.
Presiden MPS, Prof. Amrahi Buang berkata, pihaknya amat bimbang dengan penjualan alat seperti vape atau rokok elektronik itu yang kini semakin popular dalam kalangan pengguna terutama pelajar sekolah.
Produk yang mendakwa mampu memberi kesegaran serta membantu mengatasi masalah selsema, resdung dan keletihan dilihat giat dipromosikan oleh peniaga menerusi platform e-dagang.
Sehubungan itu, Amrahi menggesa Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, mengambil tindakan pantas dan tegas terhadap penjual yang mempromosikan produk berbahaya ini.
Katanya, produk tersebut juga mengandungi bahan ketagih yang boleh menyebabkan penggunanya lalai sehingga merisikokan kesihatan.
“Penetapan harga dan pemasaran produk yang didakwa, dijual pada harga serendah RM2.50 secara dalam talian menimbulkan kebimbangan serius kerana ia mudah diakses individu termasuk kanak-kanak.
“Tambahan pula, MPS mengulangi cadangannya agar Dr Dzulkefly mengembalikan status cecair vape yang mengandungi nikotin ke dalam Senarai Racun,” katanya dalam satu kenyataan kepada Kosmo! hari ini.
Amrahi berkata, langkah proaktif ini sejajar advokasi berterusan pihaknya yang menyokong larangan penggunaan vape kerana ia berpotensi membunuh kesihatan masyarakat.
“Kerajaan perlu mengutamakan kesejahteraan jangka panjang orang ramai dengan pantas dan menangani serta melarang penjualan mana-mana produk yang memudahkan akses kepada nikotin.
“Kami terus menyeru untuk memasukkan Generational End Game (GEG) ke dalam Kawalan Akta Produk Merokok untuk Kesihatan Awam 2023 bagi menangani isu berkaitan merokok yang lebih meluas produk,” tegasnya.
Terdahulu, Kementerian Kesihatan (KKM) berkata pihaknya sedang mengenal pasti tindakan serta peraturan yang akan diambil terhadap penjual ‘energy stick’.
Dalam pada itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, pihaknya akan melaksana pemantauan dan tindakan penguatkuasaan ke atas penjual dikesan menjual produk berkenaan.
Katanya, ‘energy stick’ bukan keluaran produk berdaftar dan perlu merujuk Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) seperti peruntukan undang-undang di bawah Akta Jualan Dadah 1952.
Jelasnya, penjualan produk kesihatan yang tidak berdaftar adalah melanggar Peraturan 7(1)(a), Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.
Tambahnya, individu yang didapati bersalah boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama.
“Denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya,” katanya. – KOSMO! ONLINE