fbpx

Pemegang kad UNHCR warga Myanmar ditahan edar dadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Sukarno ketika sidang akhbar di IPD Sentul hari ini. -Foto SYAKIR RADIN/ KOSMO!

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga Myanmar memegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) disyaki mengedar dadah ditahan di hadapan kedai tukang kunci sekitar Taman Wilayah Selayang, Off Jalan Ipoh, di sini, 3 Februari lalu.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, suspek yang menetap di negara ini sejak tahun 2000 itu ditahan pada pukul 10.15 malam.

Katanya, penahanan itu adalah hasil risikan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Sentul yang mendapati suspek berusia 50 tahun itu mula bergiat aktif mengedar dadah sejak enam bulan kebelakangan ini.

“Kita berjaya merampas sebanyak 42 peket plastik berwarna biru berisi dadah jenis pil yaba (824 g) dan 16 botol warna putih bertulis ‘PROME’ disyaki dadah jenis kodein (1,920 ml). Pemeriksaan selanjutnya menemukan tujuh kotak bertulis ‘PROME’ yang mana setiap kotak berisi sebanyak 12 botol disyaki mengandungi dadah jenis kodein (10,080 ml).

“Setakat ini, hanya suspek yang bekerja di kilang proses perut lembu itu ditahan bersama kereta Proton Waja manakala nilai keseluruhan rampasan dadah bernilai RM45,140,” katanya dalam sidang akhbar di IPD Sentul, di sini hari ini.

Katanya, suspek memperoleh bekalan dadah berkenaan daripada rakan warga sama dari Thailand.

Rakan suspek berjaya ditahan polis Thailand sehari sebelum suspek ditangkap iaitu pada 2 Februari.

Mengulas lanjut perkara itu, katanya, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan pihak lain yang terlibat.

“Suspek didapati positif dadah morfin dan benzo manakala suspek tidak mempunyai rekod jenayah berkaitan dadah.

“Suspek dibenarkan sehingga Sabtu ini dan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” jelasnya. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI