fbpx

Muhyiddin boleh ke Bangkok, pasport dikembalikan sementara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhyiddin ketika hadir di Mahkamah Sesyen hari ini. -Foto M. FIRDAUS M.JOHARI/KOSMO!

KUALA LUMPUR – Tan Sri Muhyiddin Yassin boleh ke Bangkok, Thailand selepas Mahkamah Sesyen di sini hari ini membenarkan pelepasan pasportnya untuk menziarahi rakan perniagaan serta menghadiri majlis perasmian restoran milik seorang kenalan rapat di negara itu.

Hakim Azura Alwi memerintahkan pasport itu dilepaskan secara sementara bermula hari ini dan dikembalikan pada 23 Februari ini.

Pasport beliau kini dalam simpanan pihak mahkamah sebagai syarat jaminan ekoran tiga pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan lebih RM200 juta yang dihadapinya.

Hakim itu ketika membenarkan permohonan Muhyiddin berkata mahkamah bersetuju tujuan utama jaminan diberikan adalah untuk memastikan kehadiran pemohon ke mahkamah bagi menjawab pertuduhan ke atasnya.

Ujar hakim itu, antara tujuan pasport ditahan adalah untuk mengenakan sekatan pergerakan ke atas pemohon sehingga kes dilupuskan.

“Meskipun pemohon dikenakan sekatan dan syarat jaminan, namun beliau tidak wajar dihalang daripada menjalani kehidupan dan tanggungjawabnya seperti biasa selagi mana beliau tidak disabitkan dan didapati bersalah bagi pertuduhan terhadap dirinya. Mahkamah juga mendapati tiada bukti pemohon mempunyai risiko untuk melarikan diri,” ujar Azura.

Kata hakim itu lagi, mahkamah bersetuju meskipun tujuan ke Bangkok bukan keperluan mendesak, mahkamah mempunyai budi bicara yang luas dan boleh digunakan setelah mengambil kira dan mempertimbangkan segala keadaan dalam sesuatu kes.

Muhyiddin, 76, yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memfailkan permohonan itu pada 31 Januari lalu di Pejabat Pendaftaran Mahkamah Sesyen di sini.

Dalam afidavit sokongan yang diikrarkannya, Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, beliau telah menempah tiket perjalanan untuk bertolak ke Bangkok pada 15 Februari ini ditemani isteri dan dijadual pulang pada 21 Februari.

Terdahulu, peguam Amer Hamzah Arshad berhujah, pemergiaannya ke Bangkok untuk mengeratkan hubungan dengan rakan perniagaan selain menghadiri perasmian restoran milik seorang kenalan rapat di sana.

Pada prosiding itu, pasukan pendakwaan membantah permohonan tersebut atas alasan tiada sebab munasabah yang mewajarkan mahkamah membenarkan pelepasan pasport berkenaan.

Timbalan Pendakwa Raya Noralis Mat berhujah, alasan yang dikemukakan adalah remeh, tidak mendesak dan kabur dan jika dibenarkan akan menyusahkan pihak-pihak.

Hujah beliau, meskipun mahkamah mempunyai budi bicara untuk melepaskan pasport secara sementara, ia harus dibenarkan secara munasabah.

Sementara seorang lagi Timbalan Pendakwa Raya Zander Lim Wai Keong dalam afidavit bagi membantah permohonan itu menyatakan, pada tarikh itu (15 Februari), mahkamah dijadual mendengar permohonan Muhyiddin untuk membatalkan tiga pertuduhan pengubahan wang haram yang dihadapinya.

Menurut beliau, alasan Muhyiddin untuk mengeratkan silaturrahim dengan kenalan dan menghadiri perasmian restoran `Phrigkiao’ bukan keperluan mendesak.

Ujarnya, pemohonan itu hanya bertujuan untuk mengganggu proses pendengaran kedua-dua permohonan yang telah ditetapkan pada 15 Februari ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI