Pada 18 Jun lalu, polis mengumumkan seramai 18 pengawai dan anggota keselamatan negara ditahan kerana disyaki terlibat dalam sindiket penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI).
Kesemua suspek termasuk pegawai kanan polis berpangkat Asisten Superintendan (ASP) dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) disyaki melakukan jenayah terancang itu sejak tahun 2017.
Beberapa minggu kemudian, polis menahan seorang pegawai kanan Jabatan Imigresen yang berusia 50 tahun kerana turut disyaki terbabit dalam sindiket penyeludupan PATI ke negara ini.
Kisah penyalahgunaan kuasa dan rasuah dalam kalangan penjawat awam atau kakitangan sektor swasta di Malaysia bukan perkara baharu.
Lebih membimbangkan, ia tidak hanya berlegar dalam kalangan golongan elit, tetapi turut membabitkan kakitangan bawahan.
Pada tahun 2017, seorang pembantu tadbir sebuah universiti awam didakwa di mahkamah atas lima pertuduhan menyalah guna kuasa berkaitan pembekalan perkakasan dan komponen bernilai lebih RM60,000.
Acap kali diperkatakan formula terbaik menangani jenayah itu adalah memastikan setiap anggota masyarakat menerapkan nilai integriti tinggi dalam diri masing-masing.
Integriti menurut Dewan Bahasa dan Pustaka bermaksud kejujuran, ketelusan, nama baik atau bebas daripada sebarang bentuk penyelewengan.
Firma perakaunan gergasi dunia Arthur Andersen terpaksa dibubar pada tahun 2002 selepas lebih 90 tahun beroperasi hanya kerana isu integriti iaitu melakukan kesalahan pengauditan syarikat.
Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, skop integriti merentasi perihal organisasi atau sesebuah negara.
“Apabila kita bercerita tentang integriti, ia merangkumi segenap aspek kehidupan manusia termasuk keselamatan negara dan juga perihal rumah tangga.
“Integriti ibarat tiang seri dalam kehidupan. Tanpa integriti kedudukan sesebuah negara, organisasi mahupun rumah tangga boleh runtuh,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Beliau memberi contoh, beberapa pekerja yang tidak berintegriti dalam sesebuah organisasi boleh menyebabkan keseluruhan organisasi tersebut berdepan masalah.
Menurutnya, pekerja terbabit mungkin terlibat dalam pemberian kontrak penyelenggaraan, tetapi menganugerahkan kontrak itu kepada pihak tidak berkelayakan yang hanya menguntungkan dirinya.
Jelas beliau, sikap tidak berintegriti itu boleh mengundang risiko kerana kerja-kerja penyelenggaraan mungkin tidak dapat dilakukan dengan baik.
Mohammad Shatar berkata, faktor utama yang mengundang kepada permasalahan integriti adalah sikap mementingkan diri dan kehendak melangkaui kemampuan.
Sementara itu, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Adnan Mat berkata, kakitangan berkualiti tinggi merupakan aset penting dalam kejayaan sesebuah organisasi.
Katanya, sifat amanah, telus, bertanggungjawab dan berkhidmat demi kepentingan organisasi merupakan intipati kepada istilah integriti dan etika yang perlu diterap oleh penjawat awam.