PUTRAJAYA- Bimbang mengenai kerahsiaan butir-butir peribadi selain kurang kesedaran menjadi antara faktor menyumbang kepada pendaftaran Sistem Pangkalan Data Utama (Padu) rendah dalam kalangan warga Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara tersebut perlu diberi perhatian berikutan setakat 2 Februari, hanya 33.4 peratus atau 8,173 orang daripada 24,471 pegawai dan kakitangan kementerian serta agensi melakukan pendaftaran Padu.
“Mungkin kesedaran belum sampai lagi, ada juga yang merasakan bahawa butir-butir peribadi itu tidak dirahsiakan, tetapi kita mempunyai jalan tertentu supaya semua dapat diselesaikan (kerana) itu semua faedah kita bersama.
“Memang setakat ini 33.4 peratus dari kalangan pegawai dan kakitangan sokongan KKDW yang telah mendaftar Padu.
“Tetapi kami telah mengusahakan beberapa langkah pada pertengahan bulan ini kita akan lakukan beberapa tindakan (dan) kita akan pastikan 100 peratus akan mendaftar dengan Padu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Perhimpunan Bulanan KKDW di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE