fbpx

Penjual ‘energy stick’ boleh didenda RM25,000 atau penjara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – ‘Energy Stick’ bukan keluaran berdaftar dan perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) seperti peruntukan undang-undang di bawah Akta Jualan Dadah 1952.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, pihakynya akan melaksana pemantauan dan tindakan penguatkuasaan ke atas penjual dikesan menjual produk berkenaan.

“Hasil saringan awal di platform e-dagang, pihak Kementerian Kesihatan (KKM) turut mengesan terdapat pengiklanan dan penjualan produk tersebut oleh penjual tempatan dan luar negara.

“KKM melalui Bahagian Penguatkuasaan Farmasi akan mengambil tindakan penguatkuasaan sewajarnya iaitu memastikan iklan-iklan produk tersebut diturunkan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Jelasnya, penjualan produk kesihatan yang tidak berdaftar adalah melanggar Peraturan 7(1)(a), Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

“Individu yang didapati bersalah boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM 25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.

“Manakala, bagi syarikat yang melakukan kesalahan yang sama boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya,” ujarnya.

Muhammad Radzi menasihati pengguna untuk memastikan produk kesihatan yang dijual mempunyai pelekat Hologram dan Nombor Pendaftaran Produk (MAL) sebelum membeli produk tersebut.

“Semakan boleh dilakukan melalui https://www.npra.gov.my di ruangan “Product Status” atau hubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan ditalian 1- 800-88-6722 atau melalui aplikasi NPRA Product Status.

“Orang ramai turut digalakkan mengemukakan aduan dan menyalurkan maklumat mengenai penjualan produk-produk tidak berdaftar kepada Bahagian Penguatkuasaan Farmasi, KKM melalui laman sesawang https://www.pharmacy.gov.my.

“Selain aduan boleh dilakukan melalui portal Sistem Pengurusan Aduan Agensi Awam (SisPAA) di alamat https://moh.spab.gov.my atau mana-mana Cawangan Penguatkuasaan Farmasi yang berdekatan atau melalui talian 03- 78413200,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI