KAHERAH – Presiden Abdel Fattah al-Sisi kelmarin mengarahkan gaji minimum dinaikkan 50 peratus ketika spekulasi bertiup kencang bahawa nilai mata wang pound Mesir akan terus susut.
“Berlandaskan kewajipan untuk menyokong rakyat berdepan situasi semasa, saya mengarahkan kerajaan menggubal pakej perlindungan sosial termasuk menaikkan gaji minimum pekerja 50 peratus kepada 6,000 pound Mesir (RM925) sebulan,” katanya dalam satu kenyataan.
Keputusan itu termasuk menaikkan pencen untuk 13 juta penerima sebanyak 15 peratus dan melaksanakan pengecualian cukai pendapatan 33 peratus untuk kakitangan awam dan swasta.
Nilai mata wang pound Mesir menjunam lebih separuh di pasaran gelap berbanding dolar Amerika Syarikat(AS) sepanjang tahun lalu berbanding kadar rasmi 31 pound Mesir untuk AS$1.
Dalam perkembangan berkaitan, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mengakhiri lawatan dua minggu ke Mesir semalam.
Kunjungan IMF adalah membincangkan pelan penyelamatan berjumlah AS$10 bilion (RM47.64 bilion) yang dijangka disusuli penurunan nilai mata wang pound Mesir bagi menyamai kadar di pasaran gelap.
Negara mempunyai lebih 109 juta penduduk itu berdepan krisis ekonomi yang serius dengan inflasi mencapai paras tertinggi, manakala rizab mata wang asing terus menjunam.
Pada Ogos 2023, kadar inflasi tahunan di Mesir mencecah 40 peratus, demikian menurut angka rasmi, menyebabkan ramai penduduk berada hampir atau di bawah garis kemiskinan.
Lebih separuh penduduk Mesir telah pun berada di bawah atau menghampiri kemiskinan sebelum krisis semasa berlaku.
Hutang luar Mesir meningkat empat kali ganda, mencecah AS$164 bilion (RM781.38 bilion) sepanjang hampir 10 tahun pemerintahan Sisi. Komitmen membayar hutang pula melibatkan sebahagian besar perbelanjaan tahunan negara. – AGENSI