PETALING JAYA – Ruangan komen Instagram (IG) pelakon dan usahawan, Abby Abadi dibanjiri dengan ucapan tahniah daripada netizen sejak semalam.
Kebanyakan netizen yang singgah dalam ruangan komen menitipkan ucapan tahniah kepada Abby atau nama penuhnya Arbaiyah Abdul Manan, 46, kerana menerima menantu pertama selepas anak perempuannya, Marissa Dania Hakim dikatakan sudah bernikah dengan lelaki dikenali sebagai Aslam Mazlan.
“Tahniah Abby dan Norman Hakim terima menantu pertama.
“Tahniah dapat menantu baharu, Aslam tapi cara yang salah,” komen netizen
Tidak hanya ucapan tahniah, pelakon filem Gerak Khas The Movie itu turut menerima kecaman dan nasihat daripada netizen yang memintanya membawa Marissa untuk berubat bagi memulihkan sikapnya.
“Cuba bawa anak pergi berubat, takkanlah lawa macam itu hendak lelaki begitu.
“Kasihan, kenapa Marissa buat tindakan sebegitu. Sayangnya ambil suami orang.
“Apalah nasib Abby, sebelum ini ‘backup’ anak tetapi sekarang mereka pula membelakanginya,” kata netizen.
Sejak semalam, nama Marissa, 19, kembali menjadi bualan ramai apabila didakwa sudah bernikah dengan Aslam yang juga berstatus suami orang secara senyap-senyap di Songkhla, Thailand pada Disember lalu.
Difahamkan, pernikahan tersebut berlangsung ketika isteri pertama Aslam iaitu Umisya Mazlan sedang menunaikan umrah.
Bukan itu sahaja, pernikahan tersebut juga dikatakan diadakan tanpa pengetahuan keluarga Marissa.
Sehingga kini, Abby mahupun Norman masih kekal dengan pendirian mengunci mulut dengan tidak membuat sebarang pengesahan mahupun menafikan dakwaan pernikahan itu. – KOSMO! ONLINE