PETALING JAYA – Bank Rakyat memperkenalkan Akaun Simpanan-I dan Akaun Semasa-i Elektronik berasaskan konsep Tawarruq bagi menggalakkan pelanggan membuat simpanan dan berpeluang memenangi hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM407,000.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mohammad Hanis Osman berkata, variasi produk baharu bank di bawah rangkaian produk akaun semasa dan simpanan (CASA) ini ditambah baik mengikut keperluan semasa yang mana kadar keuntungannya akan diisytiharkan terlebih dahulu kepada pelanggan.
“Produk ini menjadi platform menyediakan penyelesaian simpanan inovatif patuh syariah bagi memupuk tabiat menyimpan secara aktif dalam kalangan masyarakat bagi merancang dan mengurus kewangan mereka dengan lebih baik.
“Ia sekali gus berpeluang untuk memenangi hadiah menarik yang ditawarkan melalui kempen yang dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya lagi, pelanggan Akaun Simpanan-i (Tawarruq) dan Akaun Semasa-i Elektronik (Tawarruq) berusia 18 tahun ke atas boleh menyertai Kempen Buka, Simpan dan Menang yang bermula pada 7 Februari hingga 30 Jun 2024 dengan mengekalkan baki purata bulanan minimum RM1,000 bagi individu dan RM5,000 bagi bukan individu untuk berpeluang memenangi hadiah keseluruhan berjumlah RM250,000.
Menerusi kempen tersebut, 30 pemenang bulanan akan menerima hadiah wang tunai bernilai RM1,000 setiap seorang manakala lima pemenang individu dan lima pemenang bukan individu bagi kategori hadiah utama bakal menerima hadiah wang tunai bernilai RM10,000 setiap seorang.
Dalam pada itu, Bank Rakyat turut menganjurkan Kempen Jom Menabung bermula 7 Februari hingga 31 Mac 2024 khusus untuk pelanggan Akaun Simpanan-i Nuri (Tawarruq) dan Akaun Simpanan-i (Tawarruq) berusia 18 tahun ke bawah dengan mengekalkan baki purata bulanan serendah RM500 serta berpeluang memenangi hadiah keseluruhan berjumlah RM157,000.
Kempen tersebut menawarkan hadiah wang tunai bernilai RM5,000 untuk seorang pemenang bagi tempat pertama, RM3,000 untuk seorang pemenang bagi tempat kedua, RM1,000 untuk seorang pemenang bagi hadiah tempat ketiga dan 67 pemenang sagu hati akan menerima RM100 setiap seorang. – KOSMO! ONLINE.