fbpx

K2

Kepuasan buru toman tasik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MUHAMMAD SAFWANDI ceria selepas menjinakkan toman di Tasik Impian Emas, Johor Bahru.

MENJADIKAN memancing sebagai satu hobi, lelaki berusia 31 tahun itu banyak mengisi masa lapangnya dengan aktiviti tersebut terutamanya pada cuti hujung minggu.

Mula bergiat dalam aktiviti memancing sejak usia remaja, Muhammad Safwandi Mad. Yusop, menganggap aktiviti berkenaan sangat kena dengan jiwanya yang sukakan ketenangan.

Setiap minggu, lelaki berasal dari Alor Gajah, Melaka itu menghabiskan masa sekitar lima jam untuk memburu ikan kegemarannya toman atau nama sainstifiknya Channa micropeltes.

Toman tergolong sebagai ikan pemangsa air tawar yang banyak menghuni sungai dan tasik-tasik di sekitar negara-negara Asia Tenggara.

Menjadikan Tasik Impian Emas di Johor Bahru sebagai medan perjuangan, nasib Muhammad Safwandi tidak pernah mengecewakan setiap kali turun ‘beraksi’.

“Selalunya, saya menghabiskan masa hujung minggu di tasik ini sekitar lima jam. Kawasan ini sangat tenang dan tidak terlalu ramai pemancing.

“Tasik ini ada pelbagai jenis ikan antaranya patin, haruan dan keli. Namun, saya lebih suka memburu ikan toman kerana sifatnya yang agresif,” katanya ketika ditemu bual K2 baru-baru ini.

Menurutnya, ikan toman juga mempunyai rentapan dan tarikan yang kuat sekali gus dapat memberi kepuasan kepada kaki pancing sepertinya.

Setiap kali turun ke tasik yang terletak di dalam ladang kelapa sawit itu, Muhammad Safwandi tidak pernah pulang hampa termasuk berjaya mendaratkan toman bersaiz besar.

 

SUASANA tenang Tasik Impian Emas, Johor Bahru antara sebab utama Muhammad Safwandi selalu datang memancing di kawasan tersebut.

 

“Biasanya, saya berjaya dapat dua atau tiga ekor toman apabila datang ke tasik ini. Toman paling besar yang pernah dapat apabila memancing di sini adalah seberat 5 kilogram. Itu sudah cukup besar buat saya,” ujarnya.

Jelasnya, dia selesa memburu toman menerusi teknik casting (baling dan karau) menggunakan umpan tiruan seperti lucky craft gunnish, waterland splashsounder dan boytep jaws.

Muhammad Safwandi menambah, dia juga mempunyai petua tersendiri untuk memancing toman di tasik tersebut iaitu menggunakan kepantasan dan ketepatan dalam membaling umpan.

“Apabila nampak sahaja kelibat toman di atas permukaan air, saya terus melemparkan gewang ke arahnya. Selepas itu, saya akan karau umpan perlahan-lahan (casting) untuk menarik perhatian toman.

“Sepanjang mempraktikan kaedah ini, saya tidak pernah lagi gagal. Tetapi, teknik ini menuntut para pemancing supaya menjadi pantas dan tepat ketika membuat balingan umpan sekiranya ingin mengamalkannya,” terangnya.

Muhammad Safwandi yang juga seorang petugas syarikat swasta berkata, dia sebolehnya ingin mendaratkan toman seberapa pantas yang boleh dan tidak gemar bermain tarikan seperti para pemancing lain.

Katanya, langkah tersebut adalah untuk mengurangkan trauma dan tekanan kepada toman yang boleh membuatkan ia mati secara mengejut di dalam air sewaktu proses mengarau ikan dilakukan.

“Kalau pemancing lain, mereka selesa main tarik dan lepas gewang selepas dimakan oleh toman. Ini kerana, mereka ingin merasai dan menikmati kekuatan tarikan toman. Berbeza pula dengan saya yang suka mendaratkan toman ke tebing dengan seberapa pantas yang boleh.

 

ANTARA koleksi umpan tiruan atau gewang yang digunakan Muhammad Safwandi sewaktu memancing.

 

“Tujuan saya adalah untuk mengelakkan ikan menjadi trauma atau mati ketika proses tarikan berlaku. Saya kalau boleh mahu elak perkara sedemikian berlaku kerana ia boleh dianggap satu tindakan kejam kepada ikan,” katanya.

Menariknya, Muhammad Safwandi selesa mempraktikan konsep tangkap dan lepas seperti diamalkan pemancing profesional di negara-negara maju.

Dia memaklumkan, amalan tersebut dilaksanakan bagi memastikan spesies toman yang mendiami Tasik Impian Emas terus terpelihara dan tidak pupus.

“Saya tidak makan toman, jadi tidak ada sebab untuk bawa pulang ke rumah. Justeru, setiap kali dapat ikan ini, saya akan lepaskannya kembali.

“Konsep ini penting bagi memastikan kelangsungan spesies toman di sini agar dapat terus dinikmati oleh pemancing-pemancing, terutamanya generasi akan datang,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI