HANOI – Polis bandar raya Hai Phong, Vietnam mendenda pemandu sebuah bas kerana membawa 81 orang di dalam pengangkutan awam itu, sedangkan ia hanya boleh memuatkan 41 penumpang, lapor laman berita VNExpress kelmarin.
“Vu Van Tiep didenda sebanyak 20 juta dong (RM3,898),” kata polis.
Kejadian berlaku Ahad lalu apabila sepasukan polis peronda di Lebuh Raya Kebangsaan 10 di utara bandar raya tersebut bertindak menghentikan pergerakan bas itu.
Ketika itu, bas milik sebuah syarikat pengangkutan awam tempatan tersebut dalam perjalanan dari Nam Dinh ke wilayah Quang Ninh.
Polis yang melakukan pemeriksaan mendapati sejumlah penumpang yang melebihi had dibenarkan duduk di atas lantai bas dalam keadaan berhimpit.
Bagaimanapun, Tiep memberitahu polis bahawa orang ramai mahu pulang ke rumah masing-masing untuk menyambut Tahun Baharu Cina pada hujung minggu ini. – AGENSI