PETALING JAYA – Jenama di negara ini dilihat agak ketinggalan untuk memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi menambah baik pengalaman pengguna, berdasarkan laporan Situasi Pengalaman Digital Pengguna oleh Adobe.
Menurut tinjauan yang dilakukan, sebanyak 47 peratus daripada responden pengguna di negara ini memilih perkhidmatan dan ciri yang dikuasakan oleh AI berbanding interaksi manusia, jauh lebih tinggi berbanding purata global pada 39 peratus.
Namun, pada masa sama, hanya lapan peratus jenama di Malaysia memanfaatkan AI generatif untuk meningkatkan inisiatif pengalaman pengguna berbanding purata global 18 peratus di seluruh dunia.
Selain itu, 11 peratus jenama di seluruh dunia sedang mewujudkan inisiatif peningkatan kemahiran untuk bekerja dengan AI generatif, berbanding hanya enam peratus jenama di Malaysia.
Naib Presiden, Asia Adobe, Simon Dale berkata, pengguna masa kini dengan pantas menerima pengalaman yang diterajui AI generatif.
“Walaupun jenama di Malaysia ketinggalan dari segi penggunaan AI, namun penemuan kami menunjukkan bahawa isu ini akan berkembang tidak lama lagi kerana Malaysia serta pasaran Asia yang lain telah bersedia ke arah teknologi tersebut dengan lebih pantas, di tengah-tengah kesedaran berterusan tentang faedah langsung yang ditawarkan oleh AI generatif.
“Bercakap mengenai strategi perniagaan, kebanyakan jenama di Malaysia mengakui bahawa penambahbaikan pengalaman pelanggan adalah keutamaan penting.
“Keadaan ini memacu jenama untuk tertumpu kepada perkembangan pengalaman digital mereka, yang mana ia digariskan oleh penekanan strategik pada interaksi yang fleksibel dan diperibadikan,” katanya dalam satu kenyataan semalam. -KOSMO! ONLINE