PUTRAJAYA – Calon bagi Yang Dipertua Dewan Negara yang ke-20 sudah dimuktamadkan dan akan diumumkan sebelum sidang Dewan Negara yang bermula 18 Mac depan.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, mesyuarat Jemaah Menteri telah dimaklumkan mengenai perkara itu dan akan diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, jawatan Yang Dipertua Dewan Negara kosong susulan pelantikan Tun Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar sebagai Yang Dipertua Sarawak kelapan berkuatkuasa 26 Januari lalu.
“Nama telah dicadangkan dan saya serah kepada Perdana Menteri untuk diumumkan tapi ia akan diumumkan pada pertengahan Mac ini.
“Kita sudah ada nama dan saya percaya akan diumum dalam masa terdekat. Saya tidak boleh menyebut lebih dari itu,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Fahmi mengesahkan kementeriannya sudah mempunyai calon bagi jawatan Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM).
Menurutnya, lantikan kepada jawatan tersebut sedang menunggu pengesahan beberapa dokumen. – KOSMO! ONLINE