PETALING JAYA – Ibu kandung Musa yang merupakan anak angkat kepada aktivis kemanusiaan, Mizz Nina bernama Athira mendedahkan tidak pernah memberi hak penjagaan penuh anaknya kepada penyanyi Noh Salleh seperti didakwa penyanyi itu.
Menurut Athira, semua kenyataan yang dikeluarkan Noh kepada media beberapa hari lalu adalah tidak benar dan menganggap dirinya sudah dimanipulasi lelaki itu.
“Semua kenyataan Noh tidak benar dan saya dimanipulasi olehnya.
“Ketika Nih minta saya menandatandangi Statutory Declaration (SD) iaitu akuan berkanun, dia mengatakan sekurang-kurangnya bila Nina ke luar negara, dia dapat menjaga Musa. Jadi saya fikir Nina sibuk dengan kerja dan izinkan dia menjaga Musa buat sementara.
“Saya tandatangani SD itu di hadapan pekerjanya sahaja. Tiada orang lain atau Pesuruhjaya Sumpah. Saya tak tahu sah atau tidak kemudian saya diberitahu sepatutnya SD ditandatangan di hadapan Pesuruhjaya Sumpah, jadi dokumen tersebut tidak sah,” katanya.
Dalam pada itu, sejak awal lagi Athira hanya memberi hak penjagaan penuh Musa kepada Nina sahaja dan bukannya Noh.
Wanita itu juga berkata, dia tidak tahu-menahu mengenai perancangan pihak Noh untuk mengambil Musa pada 19 Disember lalu.
Athira turut kesal apabila nama penuhnya tersebar selepas dia memohon permintaan maaf daripada Noh.
“Saya tandatangani surat penyerahan itu di hadapan Pesuruhjaya Sumpah dan Nina adalah penjaga Musa yang sah.
“Kemudian sekali lagi Noh mendedahkan nama penuh saya, sedangkan dia yang merancang semua ini. Rasa geram dan merasakan seperti dipergunakan dan mangsa sekarang adalah saya.
“Dia seolah-olah berdendam dengan saya. Kalau benar-benar memohon maaf bukan itu caranya, malah sekarang rasanya dia sudah menyekat nombor telefon saya,” ujarnya lagi.
Menjawab dakwaan netizen mengenai dia dibayar oleh Mizz Nina, Athira sekali lagi menegaskan tiada unsur rasuah yang berlaku sebaliknya dia hanya mahu memberitahu kebenaran.
“Saya tidak dibayar dan mahu Noh beritahu perkara sebenar mengenai semua yang dia rancang sehingga hal yang berlaku kini.
“Saya juga sudah membuat laporan polis pada Januari lalu bagi tujuan keselamatan,” katanya lagi.
Semalam, Nina turut hadir ke Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam bersama suaminya, Essam Muhammad dan peguam syarie Fakhrul Azman Abu Hassan dan Mahmud Abdul Jumaat bagi mengesahkan penarikan balik untuk kes penjagaan penuh dan inter-parte bagi hak penjagaan sementara Musa.
Saling berbalas kenyataan, Noh turut mengeluarkan kenyataan mendakwa Mizz Nina bukanlah satu-satunya penjaga yang sah ke atas anak angkat mereka, Musa dan menyatakan dia turut menerima hak penjagaan sama daripada Athira.
Terdahulu, Nina mendakwa Noh mengambil Musa tanpa kebenaran dan pengetahuannya pada 19 Disember tahun lalu sewaktu dirinya dalam penerbangan pulang ke Kuala Lumpur dari Jepun atas urusan kerja.
Walau bagaimanapun, Noh menafikan tuduhan yang mengatakan adanya unsur penculikan selain mendakwa sudah mendapatkan kebenaran ibu kandung Musa untuk menjaga kanak-kanak itu.
Noh kemudiannya tampil memuat naik video di Instagram selepas dituntut oleh Athira untuk menarik balik kenyataannya dalam tempoh 24 jam. – KOSMO! ONLINE