fbpx

Wartawan wanita disamun lelaki berparang di restoran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Lokasi kejadian seorang wartawan wanita disamun di hadapan sebuah restoran di Taman Molek, Johor Bahru

JOHOR BAHRU – Insiden disamun dua lelaki bersenjatakan parang di sebuah restoran di Taman Molek, di sini pada malam tadi menjadi detik hitam yang sukar dilupakan buat wartawan sebuah media tempatan, Ernalisa Othman.

Menurut Ernalisa, 38, kejadian itu berlaku pada pukul 9.45 malam ketika dia baru duduk di bahagian luar restoran tersebut sebelum ternampak dua lelaki menaiki motosikal di hadapan premis berkenaan.

“Saya lihat tindak tanduk mereka dalam keadaan mencurigakan namun saya tidak menyangkakan sesuatu yang buruk akan berlaku. Namun tangkapan saya meleset setelah mereka berdua yang memakai topi keledar dan pelitup muka berjalan ke arah saya.

“Mereka datang dari arah depan dan tidak semena-mena berdiri di sebelah saya. Saya yang baru hendak memulakan kerja menjadi kaku dengan kehadiran mereka.

“Mereka kemudian merampas beg berisi telefon bimbit dan komputer riba, saya cuba menghalangnya tetapi seorang daripada mereka menghunuskan parang depan muka saya sambil berkata, ‘nak bagi ke tak’,” katanya kepada pemberita hari ini.

Menurut wanita itu, semasa dua lelaki tersebut cuba melarikan beg dan komputer riba, telefon bimbitnya terjatuh ke atas lantai.

Dia yang masih trauma dengan kejadian itu sedikit lega dan bersyukur kerana tidak dicederakan sebelum tampil membuat laporan di Balai Polis Johor Jaya pada pukul 9.53 malam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Sohaimi Ishak ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI