PETALING JAYA – Ramai yang tertanya-tanya keadaan lantai rumah kaum India di Malaysia yang kebanyakannya dilihat bersih dan berkilat hampir setiap hari.
Tahukah anda sebenarnya boleh dikatakan kaum India akan menyapu dan mop lantai sekurang-kurangnya tiga kali sehari bagi memastikan ia bersih dan berkilat.
Perkara itu dikongsikan seorang guru yang juga mualaf, Muhammad Farhan Param Kunaseigaran, 37, atau lebih dikenali sebagai Cikgu Param menerusi temu bual sebuah program podcast.
“Bersih berkilat, macam cermin boleh tengok muka kita kan. Masyarakat India ini bila bangun pagi, benda pertama yang akan dia buat, wajib buat sapu dan mop lantai. Itu wajib.
“Dia pagi buat ni (sapu dan mop), kemudian selepas tengah hari, makan semua kena buat balik, mop lagi. Selepas pukul 7 malam, dia kena buat lagi
sehari, dah tiga kali dah.
“Itu kira malas, sehari tiga kali. Kalau yang rajin tu, sebelum tidur dia buat lagi,” katanya menerusi program tersebut selepas ditanya pendakwah selebriti, Rahmat Ikhsan.
Dalam pada itu, Cikgu Param berkata, mana-mana agama mengajar umatnya supaya menjaga kebersihan tempat tinggal.
“Saya rasa mana-mana agama pun, kita perlu menjaga kebersihan supaya tak dapat penyakit, rumah kita bersih dan sebagainya. Kedua, kepercayaan (masyarakat India) bahawa rumah kita bersih, kemas dan cantik ini akan dapat banyak rezeki,” katanya.
Perkongsian tersebut turut dipersetujui pengguna TikTok yang lain apabila berkongsi pengalaman berjiran atau berkunjung ke rumah masyarakat India.
“Aku pernah masuk rumah pelanggan orang India. Nak pijak lantai, mak ai takut sebab bersih sangat. Barang kat rumah semua tersusun cantik, memang betul-betul kemas dan bersih,” komen Azirul.
Malah ada pengguna TikTok kaum India meninggalkan komen mengenai rutin harian ibunya bagi memastikan rumah dalam keadaan bersih.
“Rutin mak saya ialah bangun pukul 8 pagi, menyapu 8.15 pagi, masak apa semua… pukul 1 tengah hari menyapu lagi. Kemudian pukul 4 petang sebelum mandi, menyapu lagi dan bonus pukul 8 malam sapu rumah lagi.
“Akhir pukul 10 malam sebelum tidur, menyapu lagi. Tak ada kepercayaan atau apa-apa bagi keluarga saya. Saya labelkan mak saya OCD sebab kalau bawa pergi jalan, dengan ‘homestay’ dia sapu,” kata Pooja Kajal. – KOSMO! ONLINE.