fbpx

‘Port’ sembunyi di pondok kebun durian penduduk kampung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KAMARUL ZAMAN menunjukkan rumah salah seorang penduduk kampung yang mana tiga tahanan lelaki etnik Rohingnya yang lolos depot imigresen mengetuk pintu bagi meminta makanan dan minuman di Kampung Batu Melintang, Tapah hari ini.

TAPAH – Penduduk Kampung Batu Melintang di sini mendakwa ada kemungkinan tahanan yang meloloskan diri dari Depot Imigresen Sementara Bidor berlindung di pondok-pondok kebun durian berhampiran kampung itu.

Seorang penduduk kampung, Kamarul Zaman Alias, 45, berkata, tahanan yang meloloskan diri dari depot itu mungkin berlindung dari hujan dan panas selain tidur di pondok-pondok tersebut sebelum keluar dari tempat persembunyian kerana kelaparan.

“Itu cerita penduduk kampung yang lain dan mungkin ada benarnya dakwaan itu kerana cukuplah pondok itu menjadi tempat mereka berteduh.

“Namun, malangnya mereka tidak dapat makan dan minum kerana sekarang bukan musim buah durian dan rambutan selain tiada akses lain seperti air paip dan makanan.

“Oleh kerana beberapa hari tidak makan, mereka mengambil keputusan keluar dari kebun tersebut sebelum ke kampung kami untuk mengisi perut yang kelaparan, ” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Terdahulu, penduduk kampung melihat kelibat tiga tahanan lelaki etnik Rohingnya yang hanya berkaki ayam itu mengetuk pintu salah sebuah rumah untuk meminta makanan.

“Kejadian itu berlaku kira-kira pukul 7 pagi semasa penduduk kampung sedang bersiap-siap untuk menghantar anak ke sekolah dan bekerja.

“Mujur penduduk kampung ini tidak membuka pintu kerana ketakutan yang menyebabkan ketiga-tiga lelaki itu berputus asa menuju ke tempat lain.

“Penduduk kampung kemudian dengan segera menelefon polis sebelum ketiga-tiga mereka ditangkap sebelum dihantar ke balai polis terdekat kira-kira setengah jam kemudian.

“Ini merupakan kali kedua penduduk kampung terserempak dengan tahanan lelaki depot ini kerana sebelum ini mereka meminta makanan dan minuman daripada imam masjid,” katanya. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI