BEIJING – Sebuah kedai kopi di China menarik perhatian orang ramai kerana mencampurkan cili goreng dan serbuk lada ke dalam minuman baharu mereka, lapor portal berita South China Morning Post.
Jiangshi Coffee yang terletak di Gangzhou, wilayah Jiangxi melancarkan kopi berperisa latte pedas pada Disember tahun lalu.
Sebuah klip video memaparkan pekerja kedai itu meletakkan hirisan lada ke dalam secawan kopi latte sebelum menuang serbuk lada pedas dan menghidangkannya kepada pelanggan.
Kopi berharga kira-kira 20 yuan (RM13.40) itu dipanggil Jiangxi Spicy Latte.
“Saya pikir ia sangat pedas. Sebaliknya, rasanya sedap. Kopi ini tidaklah sepelik yang disangka orang,” kata seorang pekerja di kedai tersebut.
Tambahnya, kebanyakan pelanggan memberi maklum balas positif mengenai produk tersebut.
“Ia kreatif. Tetapi saya tidak berani mencubanya kerana bimbang ia boleh mengganggu perut saya,” kata seorang netizen. – AGENSI