fbpx

Peniaga bukan Melayu ramai tawar Menu Rahmah, namun tak daftar KPDN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kah Leong (dua dari kiri) melakukan pemeriksaan terhadap harga barangan sempena SHMMP Tahun Baharu Cina 2024 di pasar Raya Lotus's Bercham di Ipoh hari ini.

IPOH – Ramai peniaga bukan Melayu di Perak yang menawarkan Menu Rahmah tidak berdaftar dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyebabkan perkhidmatan ditawarkan mereka tidak disedari orang ramai.

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Salam Negeri, Koperasi, Hal Ehwal Pengguna dan Kampung Baru Cina, Woo Kah Leong berkata, peniaga-peniaga terbabit juga tidak melakukan sebarang publisiti serta mempromosikan Menu Rahmah ditawarkan masing-masing.

Jelasnya, ia sekali gus menyumbang kepada persepsi bahawa Menu Rahmah tidak mendapat sambutan serta kurang ditawarkan oleh golongan peniaga makanan di negeri ini.

“Saya dapati ada peniaga bukan Melayu yang menawarkan Menu Rahmah tetapi mereka tak daftar diri di laman sesawang KPDN.

“Sebab itu statistik rasmi Perak selalu berada di bawah paras sederhana dan apabila saya menjelajah di Perak, contohnya Taiping di sebelah utara, ada peniaga yang tawarkan Menu Rahmah pada harga lebih rendah dari RM5 tetapi mereka tidak daftar.

“Mereka juga tidak buat publisiti serta promosi sebab itu ramai yang tak tahu, cuma orang tempatan dan sekeliling sahaja yang tahu,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Terdahulu, beliau melakukan walkabout pemantauan Skim Harga Maksimum Kawalan Muslim Perayaan (SHMMP) Tahun Baharu Cina 2024 di pasar raya Lotus’s Bercham di sini hari ini.

Dalam pada itu, Kah Leong turut menasihati golongan peniaga agar tidak menaikkan harga makanan sesuka hati pada musim perayaan sehingga menyebabkan golongan pelancong ‘tawar hati’ melancong di Perak seperti yang berlaku di Pulau Pangkor bulan lalu.

Katanya, ia lebih-lebih lagi apabila negeri ini sedang menerima kunjungan pelancong sempena Tahun Melawat Perak 2024.

“Sebagai contoh, jika ada pelancong dari Johor datang ke Ipoh namun dikenakan caj RM30 bagi sepinggan nasi kandar dengan ayam, telur dan sayur sahaja, bagaimana persepsinya terhadap Perak?

“Tentunya dia akan datang sekali sahaja, ‘touch and go’. Peniaga jangan ‘cantas’ pengunjung (dari melancong ke Perak),” katanya.

Pada masa sama, beliau memberitahu, seramai 175 pegawai penguat kuasa dan 70 pemantau harga KPDN Perak ditugaskan menjalankan pemeriksaan serta pemantauan di lokasi-lokasi strategik seperti pasar awam, pasar tani dan pusat membeli-belah barangan keperluan di seluruh negeri. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI