BACHOK – Sepasang suami isteri tinggal sehelai sepinggang selepas rumah sewa yang menjadi tempat tinggal mereka di Kampung Hujung Repek di sini, sejak lebih setahun lalu musnah dalam kebakaran pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu, Farehah Azmi, 30 dan suaminya, Nik Yusoff Nik Zul Azhar, 29, berada di tempat kerja masing-masing sebelum menerima panggilan telefon daripada pemilik rumah, Rosli Majid, 62, yang memaklumkan mengenai kebakaran tersebut.
Menurut Farehah, ketika kejadian, dia sedang bekerja sebagai pencuci di Institiut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Tangok yang terletak kira-kira dua kilometer dari rumahnya.
“Sebelum saya dan suami keluar bekerja, kami sudah pastikan semua suis barangan elektrik ditutup. Saya ada panaskan sup sebelum keluar bekerja dan sudah menutup api di dapur, namun bomba ada memaklumkan bahawa kebakaran rumah kami dipercayai berpunca daripada litar pintas,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Farehah memberitahu, dia terkilan apabila tidak sempat menyelamatkan semua barangan elektrik dan perabot yang baru dibeli sebelum menyewa rumah tersebut.
Menurutnya, pemilik rumah juga tidak sempat membantu apabila api kebakaran cepat merebak kerana kebanyakan struktur rumah tersebut diperbuat daripada papan.
“Saya dan suami yang bekerja di sebuah kedai perabot menganggarkan kami mengalami kerugian lebih RM20,000 apabila semua kelengkapan rumah musnah dalam kebakaran itu.
“Kami berdua masih terkejut dengan kejadian itu dan akan menumpang di rumah saudara mara terdekat sementara mendapat rumah sewa yang lain,” katanya.
Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bachok, Lokman Jusoh berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 10.16 pagi sebelum anggota dan jentera tiba di lokasi kejadian 20 minit kemudian.
“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kebakaran itu. Kita masih menjalankan siasatan punca kejadian dan anggaran kerugian yang dialami mangsa,” katanya. – KOSMO! ONLINE