SEREMBAN – Polis Negeri Sembilan mengenal pasti tiga kawasan hitam (black spot) yang kerap menjadi lokasi kemalangan maut setiap kali tibanya musim perayaan.
Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Abd Khalid Othman berkata, ia membabitkan Jalan Port Dickson-Lubuk China di daerah Port Dickson; Jalan Seremban – Kuala Klawang – Simpang Pertang (Jelebu) dan Jalan Seremban – Kuala Pilah (Kuala Pilah).
“Tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana pengguna jalan raya yang didapati melanggar dan tidak mematuhi peraturan lalu lintas.
“Secara keseluruhannya, pada Op Selamat 19/2023, sebanyak 4,001 saman telah dikeluarkan kepada pengguna jalan raya yang tidak mematuhi peraturan,” katanya sempena Majlis Pelancaran Ops Selamat 21/2024 di Plaza Tol Nilai, di sini semalam.
Tambahnya, terdapat 19 lokasi hotspot yang dijangka berlakunya kesesakan lalu lintas di negeri ini membabitkan enam di daerah Seremban, tiga di Port Dickson serta Nilai, masing-masing dua di Tampin dan Rembau, manakala satu lokasi di daerah Kuala Pilah, Jelebu dan Jempol. – KOSMO! ONLINE