JOHOR BAHRU – Kes penipuan atau scam termasuk penipuan pelaburan dan pinjaman tidak wujud semakin membimbangkan di negeri ini apabila sebanyak 534 kes dilaporkan membabitkan kerugian lebih RM26 juta, setakat Januari lalu sahaja.
Ketua Polis Johor, Komisioner M. Kumar berkata, jumlah itu merekodkan peningkatan mendadak sebanyak 131 peratus berbanding tempoh sama pada tahun lalu.
Katanya, pada tahun lalu, sebanyak 231 kes dilaporkan membabitkan kerugian kira-kira RM8.4 juta pada Januari tahun lalu, peningkatan sebanyak RM17.9 juta atau 213 peratus.
“Kes penipuan pelaburan merekodkan jumlah kerugian tertinggi iaitu sebanyak lebih RM11.4 juta membabitkan 107 kes sepanjang Januari sahaja.
“Jumlah itu mencatatkan peningkatan mendadak berbanding 37 kes dilaporkan dalam tempoh sama tahun lalu melibatkan kerugian RM1.7 juta, peningkatan sebanyak RM9.69 juta,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan Walkabout di Bazar Taman Johor Jaya, di sini.
Kumar memberitahu, kes penipuan yang turut menyumbang kepada peningkatan statistik itu ialah penipuan tawaran kerja melibatkan kerugian lebih RM26 juta daripada 77 kes dilaporkan, 127 kes penipuan belian atas talian (RM1.14 juta) dan 77 kes pinjaman tak wujud (RM1.28 juta). – KOSMO! ONLINE