fbpx

84 akaun bank sindiket kripto Accerx disekat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman telah menyekat sebanyak 84 akaun bank termasuk satu akaun persendirian yang disyaki terlibat kegiatan penipuan mata wang kripto dikenali ‘Accerx’.

Timbalan Pengarah (Siasatan) JSJK, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, pihaknya menerima 124 laporan membabitkan kerugian RM90.36 juta sejak November tahun lalu.

“Siasatan yang dijalankan setakat ini berjaya mengenalpasti 73 syarikat perniagaan dan sebanyak 83 akaun bank syarikat serta satu akaun bank individu yang disyaki digunakan dalam kegiatan penipuan sindiket itu.

“Seterusnya, seorang lelaki berusia 24 tahun yang berperanan sebagai keldai akaun juga sudah dituduh mengikut Seksyen 22A(1) Ordinan Kesalahan-Kesalahan Kecil Sabah di mahkamah di Keningau, Sabah, Selasa lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, kerugian tertinggi setakat ini adalah RM11.13 juta membabitkan seorang lelaki berusia 60 tahun yang membuat laporan di Balai Polis Sentul, di sini, 30 Januari lalu.

“Pengadu yang juga pengarah syarikat mendakwa terpedaya dengan skim pelaburan mata wang kripto yang diiklankan di laman sosial Facebook pada September tahun lalu.

“Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan mana-mana individu yang masih berurusan dengan skim pelaburan itu supaya berhenti melakukannya dan membuat laporan di balai polis berhampiran.

“Sebagai langkah pencegahan kepada orang ramai yang ingin terbabit urusniaga mata wang kripto dinasihatkan membuat semakan di laman web www.coinmarketcap.com.

“Orang ramai juga boleh merujuk agensi berkaitan termasuk Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti (SC) bagi mengelak menjadi mangsa penipuan,” katanya. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI