fbpx

K2

Tonton bola sepak di skrin gergasi ala berkelah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ORANG ramai menonton bola sepak secara santai ala berkelah di Kafe Kopi & Pantun, Shah Alam baru-baru ini.

MACAM-MACAM cara dilakukan pelbagai pihak untuk memeriahkan ‘musim bola’ sempena kejohanan bola sepak Piala Asia 2023 Qatar.

Baru-baru ini, ketika pasukan Malaysia masih bertanding, sebuah restoran di Taman Awam Seksyen 10, Shah Alam, Selangor mencipta keunikan apabila menawarkan konsep santai kepada pelanggan yang menonton perlawanan bola sepak Piala Asia.

Premis tersebut menyediakan tikar dan skrin gergasi dalam suasana ‘open air’ serta ala berkelah.

Menurut pengusaha kafe itu, Khairun Mohamad Nor, 48, objektif utama pihaknya adalah mahu menyemarakkan lagi semangat dan sokongan peminat bola sepak negara.

Jelasnya, umum mengetahui penyertaan skuad Malaysia dalam Piala Asia amat bermakna selepas lebih 40 tahun rakyat menantinya.

“Justeru, saya dan rakan kongsi mahu berkongsi detik bersejarah itu dengan menyediakan tayangan skrin gergasi bagi perlawanan melibatkan pasukan negara. Namun, kami menggunakan konsep iaitu pelanggan duduk bersila di atas tikar seperti berkelah bersama keluarga dan rakan,” katanya kepada K2 ketika perlawanan pasukan Malaysia bertemu Bahrain baru-baru ini.

Khairun berkata, sambutan diterima pihaknya menggalakkan biarpun ia julung kali dilakukan sejak kafe berkonsep perkhemahan berkenaan dibuka pada Oktober tahun lalu.

Pengunjung juga berpeluang membeli baju T khas Harimau Malaya.

Jelasnya lagi, pemilihan kopi sebagai nama kedai disebabkan minuman itu dianggap sudah menjadi sajian utama rakyat Malaysia, manakala pantun pula melambangkan keunikan kaum Melayu.

“Selain menawarkan aneka kopi dan makanan, kami menjual baju T khas Harimau Malaya untuk dipakai ketika perlawanan berlangsung.

Sementara itu, pengunjung, Iffan Zafran Hamsani, 33, berkata, konsep berkenaan jelas berbeza kerana dia kebiasaannya hanya menonton di restoran mamak.

Iffan Zafran memberitahu, konsep seperti berkelah sambil menonton merupakan pengalaman baharu baginya.

“Bagi saya, ia lebih santai kerana faktor ruangnya yang lebih luas dengan turut dikelilingi suasana taman.

“Kawasan ini boleh memuatkan lebih 100 orang dan kanak-kanak juga boleh bermain di sekitar kafe itu,” katanya.

Seorang peminat bola sepak, Abdul Razak Ahmad, 52, berkata, dia juga tertarik untuk menonton bola sepak di situ kerana kafe tersebut menyediakan pelbagai pilihan makanan seperti nasi lemak, lontong, pastri, makanan Barat dan aneka sup.

“Pelbagai jenis kopi juga ditawarkan kepada pelanggan yang terdiri daripada lapisan kaum dan usia termasuk pelajar universiti.

“Selain dekorasi menarik, Kopi & Pantun menyediakan beberapa khemah kecil bagi mereka yang inginkan suasana makan ala berkelah,”ujarnya.

Kafe yang terletak berdekatan sebuah hotel terkemuka tersebut beroperasi bermula pukul 5 petang hingga 12 tengah malam.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat mengenai kafe unik tersebut di platform Facebook (FB), Instagram dan TikTok atas nama Kopi & Pantun.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI